Tuesday, January 5, 2016

BAB 1 Suamiku Badak Suamiku Buaya



BAB 1


"SYA sayang, ingat pesan ibu ni baik-baik. Walau di mana kita berada sebagai seorang wanita, banyak godaan, banyak cubaan. Kalau dijodohkan Sya dengan seseorang, hormatilah suami, jaga kehormatan diri dan juga suami."

Masih terngiang-ngiang pesanan terakhir ibu, sebelum dijemput Ilahi. Sudah hampir lapan tahun mereka iaitu ibu, ayah, adik-adik aku Farid dan Khairul pergi meninggalkan aku keseorangan. Insyaallah ibu, Sya tak lupa pesan ibu. Sya akan ingat sampai bila-bila.

"Kiesya... Kiesya Humaira!" Sergahan dari suara tua menyedarkan dirinya dari lamunan.

"Ya Datuk... Ada apa yang boleh saya bantu?"

"Bawakan fail-fail syarikat Induk Holding ke meja saya."

Nasib tak melekat aku kat syiling tadi. Asyik nak menyergah je kerja dia. Tapi entah bila dia dah terpacak kat situ. Selalu kalau dia nak apa-apa, dia call je atau Husni yang attach kat aku. Sahih termenung aku tadi di tahap empat belas petala bumi. Ngee... Dalam gila tu. 

"Ni semua fail-fail yang Datuk minta tadi." Kiesya meletak kelima-lima fail Induk Holding di atas meja bosnya.

"Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu Datuk?"

"Takda apa-apa buat masa ni. Err... Cuma saya tengok sehari dua ni awak selalu sangat termenung, ada apa-apa masalah ke?" soal lelaki yang digelar Datuk oleh Kiesya Humaira itu. 

Dia perasanlah pula. Entah aku ni pun. Asyik teringat kat arwah keluarga je sehari dua ni. Dah tak pasal-pasal nak kena tambah dosa. Nak menipu. Takkan nak cakap benda betul. Kang kata makan gaji buta pula.

"Ermm, takda apa-apa Datuk... Saya cuma tak..." penipuan yang direncanakan seakan mampu dibaca oleh lelaki yang bergelar Datuk itu.

"Kalau Kiesya tak sihat ambillah cuti, saya tak mengapa. Nanti saya minta pada Husni kalau saya nak apa-apa," balas lelaki tua itu lembut. Memandang pada Kiesya dengan senyuman terukir di hujung bibir.

Eh... Pandai je kata aku tak sihat. Itulah lain kali jangan suka-suka potong cakap aku. Aku nak cakap yang aku tak nak sekolah dah. Haha... Cis betul pula apa yang dia teka tu. Kiranya tak sempat la aku nak menipu ya tak. Dia yang cakap, bukan aku.

Nak cuti tu memang nak. Tapi tak sampai hatilah pula sejak-sejak aku dilantik sebagai PA kepada Husni yang merangkap Setiausaha Sulit kepada Datuk Mokhzani. Haa, orang tua yang aku panggil Datuk ni bos aku, Datuk Mokhzani. Tapi kerja aku ni memang pelik sikit, walaupun aku PA kepada Husni tapi yang banyak mengikis tenaga dan kepakaran aku ialah Datuk Mokhzani. Kenapa tak lantik je terus aku sebagai PA Datuk, kan. Ada juga modal aku nak berlagak dengan orang kampung.

"Taklah Datuk, saya okey lagi. Tak payahlah nak cuti-cuti bukan ada benda pun saya nak buat kat rumah tu... Datuk dah makan ubat ke belum?"

Soalan yang dah naik jemu nak ditanya. Soalan wajib. Kalau dibukukan soalan aku ni rasanya adalah setebal lori simen buku tu. Orang tu ada sakit jantung. Kena makan ubat on time, lambat sikit tak boleh. Aku pula dah ditauliahkan oleh kerajaan Zimbabwe untuk tugasan maha berat ni. Berat la sangat. Kecoh je lebih kau tu Sya. 

"Cuma ada satu perkara lagi... Saya ada benda yang nak dibincangkan dengan awak. Ermm... Takpalah nanti saya panggil awak semula," kata Datuk Mokhzani, sambung menurunkan tandatangannya di helaian kertas di hadapannya itu.

Haa tengok, tengok. Bukannya nak menjawab apa yang aku tanya. Tiba-tiba pula ni nak ajak berbincang. Selama ni takda pun nak bincang-membincang dengan aku. Lagipun aku bukan ahli lembaga syarikat nak dibincang-bincang. Nak buat cerita misteri pula dah dia ni.

"Lagi satu, buatkan kopi untuk saya ya," pinta Datuk Mokhzani lagi dengan senyuman yang cukup menawan. Senyuman di mata.

Sah! Malaslah tu nak melayan soalan wajib aku tu. Dia pun dah bosan kut asyik mencekik ubat je hari-hari. Tapi tang senyuman mata dia tu, aku tak bosan. Bukan selalu boleh tengok ooo. Setahun adalah sekali dua. Macam hari raya juga. Mesti ada benda best yang sedang berlaku ni. 

"Baik Datuk, tunggu sebentar ya... Saya buatkan kopi." Dah orang beri senyuman mata, aku balas dengan senyuman lesung pipit. Orang ada lesung pipitlah katakan. Jangan nak jeles pula. Kihkih.

Budak kopi? Ya... Malas aku nak akui tapi itulah kebenarannya. Dalam office ni, kopi aku buat je dia nak minum. Kalau aku takda, tak mahunya dia suruh orang lain bancuhkan. Diorang dekat sini pun pelik, apa yang bestnya aku bancuh dengan diorang bancuh. Diorang tak faham, aku lagilah tak faham. Kadang tu sengaja aku tukar-tukar resepi bancuhan, saja nak test dia... Pun dia minum juga. Aku letak kopi lebih ke, gula kurang ke, aku juga yang dia suruh. Nasib je aku tak letak garam sekali. Entah ke dia minum juga. Misteri... Misteri...

Sedang Kiesya membuka langkah sambil membawa secawan kopi yang dipesan, entah dari planet mana, seorang lelaki yang tak tahu asal keturunannya telah bertembung tepat ke arah dirinya hingga menyebabkan molekul-molekul kopi berterbangan ke udara dan mendaratkan diri mereka tepat di atas baju kurung milik gadis ayu itu. Kiesya tergaman. Lelaki itu pula kelihatan bengang dengan apa yang baru terjadi.

"Woi! Buta ke! Jalan tu mata tengok mana?! Tak reti guna mata sedekah kat orang buta la. Macam-macam hal!" pekik lelaki itu kepada Kiesya.

Aku yang tergamam dengan peristiwa bersejarah itu, tak terkata apa. Memang sejarah tercipta, tak pernah lagi selama tujuh tahun aku bekerja dekat syarikat ni, kopi tumpah kat badan aku. Dah la dengan panas semua cukup, kena maki pula... Kurang asam punya mamat. Errr... Aik, dah hilang dah. Minta maaf pun tidak, blah macam tu je.

Lelaki yang segak bergaya itu telah melangkah pergi meninggalkan Kiesya yang masih termanggu dengan apa yang baru terjadi. Melangkah laju menuju masuk ke dalam ruang pejabat.

"Awat ni Sya? Hang okey ka?" Umi datang bertanya dan cuba membantu mengesat tompok-tompok hitam yang telah menodai kesucian baju kurungku.

"Siapa tu Sya? Kerek semacam je aku tengok," soal Siti pula meminta kepastian.

"Entahlah, aku pun tak pernah tengok. Dia langgar aku, aku pula yang kena maki," kataku mempertahankan diri.

Memang kerek betul mamat ni, aku pun tak perasan dia masuk meluru je tadi. Tak ikut undang-undang betul. Jalan aku tu tadi, sebab aku laluan lurus. Kau mamat dari simpang, bagi laluanlah. Mana tak accident kalau main redah je jalan. Tak reti bersabar betul! Dah langgar kita, maki pula kita. Nasib baik aku perempuan, kalau aku lelaki free je ada drama gusti tengahari buta ni.

Sedang mereka masih tertanya-tanya, satu letupan keriuhan telah terjelma dari arah bilik Datuk Mokhzani. Cepat-cepat mereka berlari anak menuju ke sana diikuti oleh rakan-rakan sepejabat yang lain.

"Ya Allah, Datuk!" jerit aku terperanjat. Bos aku terduduk di lantai sambil mengurut dada. Bersebelahannya berdiri seorang lelaki yang paling dikehendaki. Mamat poyo tadi yang meredah laluan aku. 

Menyirap darah gadis muda itu melihat akan keadaan yang sedang berlaku. Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain. Kiesya menajamkan anak matanya tepat memandang pada lelaki itu. Garang sekali raut wajahnya.

"Apa awak dah buat ni?! Security!" jerit aku pada pak guard supaya segera datang menangkap mamat perasan bagus ni. 

Dah lama dah aku teringin nak panggil security macam tu. Rasa macam win sangat. Macam yang Husni pernah buat kalau ada orang luar yang datang nak membuat kacau. Kebetulan dia pun takda sekarang ni. Terpaksalah aku mengambil alih dengan bergayanya.

Kiesya dengan perasaan yang masih tidak berpuas hati soal isu kopi tadi, masih memakukan tepat kedua biji matanya pada lelaki itu seperti sang singa yang kelaparan. Lagaknya cukup garang.

Ini pun aku belajar dari Husni. Kalau dia, siap dengan gaya-gaya tangan lagi. Dah macam Ultraman pun ada aku tengok si Husni tu kadang-kadang. Aku paras-paras Snow White pun jadilah, Ultraman macam ganas sangatlah pulak.
Nasib baik dalam masa yang sama si Hafiz, pegawai pemasaran syarikat datang memapah Datuk. Segan juga kalau aku yang nak kena papah, kan. Pegang-pegang lelaki bukan mahram ni memang bukan gaya aku.

"It's okay... It's okay Sya," kata Datuk Mokhzani terketar-ketar menahan sakit sambil memberi isyarat tangan kepada security supaya tidak menahan lelaki itu. Aik, tak bagi tahan pula. Kenapa pula dah? 

Keadaan menjadi lebih panik apabila sejurus Datuk Mokhzani menghabiskan kata-katanya, dia rebah jatuh ke lantai semula. Kali ini terus tidak sedarkan diri. 

"Astagfirullahaladzim..." Mengucap panjang Kiesya. 

Kiesya mengarahkan Umi yang kebetulan berada di sebelahnya untuk memaklumkan pada kakitangan perubatan syarikat. Bersiap dengan kadar segera membawa bos Layar Emas Holding ke hospital. Sahih tak makan ubat lagi ni, patut aku tanya tadi dia tak jawab. Kan dah kena serangan jantung.

Lelaki yang membuat onar itu hanya memerhati tanpa ada tanda-tanda bersalah di raut wajahnya dan sekali lagi tanpa meninggalkan sebarang kata, dia berlalu pergi. 

Apa punya perangai. Macam bangsa gua pun ada dia ni. Tapi yang paling musykil Datuk tak bagi pula tahan dia tu. Misteri lagi...

Kami bergegas membawa Datuk turun ke bawah, dibantu oleh empat orang pegawai perubatan syarikat yang baru tiba. Syam dengan Hafiz ikut sekali ke dalam ambulans. Aku yang baru ingin melangkah masuk ke dalam ambulans teringat pula akan beg bimbit yang sering dibawa oleh Datuk Mokhzani. Dia dah pesan dengan aku banyak kali sebelum ni, ke mana dia pergi, beg itu mesti dibawa sekali. Wajib katanya. Adui, tertinggal la pula.

"Korang jalan dulu eh... Sya tertinggal barang Datuk la kat atas," diorang angguk kepala tanda faham. Kalau tak angguk pun aku ambil juga.

Aku dengan termengah-mengahnya berlari anak, naik balik ke tingkat atas bangunan tempat pejabat kami terletak. Mata-mata tak payah cakaplah, ursha aku rapat je. Tertanya-tanya dengan kejadian tadi kut. Masuk lif orang sesaklah pula, lunch hour. Mujur masa turunkan Datuk tadi tak ramai macam ni. Aku dah la dengan perfume kopi semua cukup. Pergghh terjejas keharuman minyak wangi Thiery Muglerku. Bau kopi pula dah melekat dalam lif.

"What happened Sha?"
"Datuk dah mati ke?"

Ni suara puaka mana yang minta kena cangkul dengan aku ini. Suka sangat ke Datuk mati? Korang ingat kalau Datuk mati, korang dapat cuti, dapat bonus lebih. Tapi... Kalau masinlah mulut puaka tu, siapa pula yang akan mengambil alih syarikat ni? Betul jugakan, aku pun tak kenal waris dia. 

Haah takda pewaris! Isteri, anak semua takda. Sebatang kara juga macam aku.

"Datuk hidup lagi la... Dia sempat lagi selfie dalam ambulans tadi." Yang hidup tu betul, yang selfie tu aku sesaja tambah, nak tenteramkan orang ramai bukan senang. Kalau aku cakap Datuk dah mati, confirm hura-hara satu bangunan. Silap-silap tergendala urusan syarikat.

Kiesya menuju laju ke arah tempat letak kereta setelah selesai mengambil beg bimbit yang dimaksudkan. Ketika hampir dengan keretanya, dia tersentak apabila terdengar pekikan maki hamun dari suara seorang lelaki.

"Damn... Damn!" Maki hamun yang jelas kedengaran di halwa telinga Keisya, tidak jauh dari tempat letak keretanya. 

Woi. Ada pertunjukkan gusti sedang berlangsung ke? Maki hamun ni dalam gusti je aku tengok.. Eishh tak kuasalah kalau kata aku ni peminat gusti dush dush tu. Ni semua Zira punya hal. Rajin sangat dia layan gusti. Tiap-tiap malam selasa aku hafal sangat dah, pukul 10 mesti buka cerita gusti WWE tu. Sama ada aku nak tengok atau tak, dia tak peduli.

Terlihatlah Kiesya akan sebatang tubuh yang berdiri tidak jauh dari keretanya sedang menyepak tiang konkrit sambil mulut terkumat kamit memaki hamun. Membelakangi dirinya.

Macam familiar sangat belakang badan lelaki ni. Aku kenal ke? Tapi kalau ya pun nak main bola, pergi padanglah bro. Main dengan tiang, awak tu bukan Thor boleh pecahkan tiang macam patah-patahkan biskut je. Tapi kalau tengok dari belakang ada la rupa macam Thor, tinggi pun tinggi, bahu bidang, boleh tahan sasa jugalah. Dari depan tak tahu. Jangan macam Hulk sudah, badan dah giler mantop tapi hijaulah pulak... Hehe jahat kau ni Sya. Penangan layan filem favourite Zira, The Avengers.

"Encik okey ke?" Aku menyibukkan diri bertanya. Lagipun dia dekat je dengan kereta yang aku parking. Selang sebiji kereta. Aku ni pula jenis tak boleh tengok orang lain susah hati. Tak tergamak pula nak blah macam tu je. Manalah tahu pertanyaan aku tadi berjaya menstabilkan kembali abang Thor ni.

Lelaki itu memalingkan muka memandang pada yang menegur.

Tatkala abang Thor memalingkan mukanya ke arah aku, otot-otot muka aku bertindak balas secara automatik. Otot-otot mata telah bekerja keras menolak keluar biji mata menjadi besar dan luas. Otot-otot di geraham telah menolak rapat di antara satu sama lain membuatkan aku mengetap gigi yang tersusun rapi. Bahang panas hati telah merebak ke seluruh pelusuk badan. Telapak tangan aku telah termampat padu, bersedia untuk melancarkan tamparan paling maut di abad ini. Mamat kurang ajar tadi rupanya! Patutlah macam pernah nampak!

"Awak lagi! Awak tahu tak apa yang awak dah buat pada bos saya?" Aku melepaskan herdikan separa power, baru pakai gear tiga je tu. Tamparan maut tadi tu aku simpan dulu, takut nanti dia balas dengan tumbukan maut dia pula, mahu bersepai gigi-gigi aku berterabur. Ishh tak mahulah, muda-muda dah rongak.

"Makcik, kau ni siapa nak tengking-tengking aku ni ha? Watch your mouth!" Alamak! Dia pula yang marah la. Tak pasal-pasal tertakut pula aku. Bertukar menjadi tiang! Aku dah jadi tiang la sekarang ni. Huhu. 

Melihat Kiesya yang kaku tidak bergerak, pemuda sasa itu memboloskan dirinya masuk ke dalam kereta BMW i8 sport carnya dan menekan minyak berdesup sehingga hampir melanggar Kiesya yang berdiri di sebelah sisi kiri keretanya. Kiesya yang terkejut sempat mengelak sehingga jatuh terduduk.

"Ouchh... Sakitnya!"
"Kurang ajar!!!"

Aku melepaskan lolongan jeritan gear lima. Sakit pula tu kaki aku, luka ke apa. Tak guna punya jantan. Teruk sangat perangai kau ni. Dah jadi tiang pun nak langgar juga ke! Eeii... 

Kiesya menyelak sebahagian kain kurung yang dipakai untuk melihat keaadaan kakinya.

Dah agak dah mesti luka, kulit aku ni dahlah sensitif sikit. Kulit nipis bukan boleh lebih-lebih sangat mulalah nak calar balar. Kiesya yang menahan kesakitan tanpa disedari, air mata telah bergenang di hujung mata, tunggu masa je nak meleleh.

Sial punya jantan, tadi tumpahkan kopi, lepas tu buat Datuk kena heart attack, sekarang nak langgar aku pula. Siap panggil aku makcik lagi. Dia ingat dia bagus sangat ke suka-suka nak panggil orang makcik. Muka sweet macam aku ni dia panggil makcik? Memang tak siuman punya orang. 

Tanpa dia sangka, drama Hindustan akan bakal di tayangkan sebentar sahaja lagi.

"Cik okey? Cik tak apa-apa ke? Sakit dekat mana? Biar saya tolong."

Dah ni tiba-tiba bertubi-tubi pula soalan datang dari alam ghaib mana pula. Mamat mana pula ni macam drama sangat je tiba-tiba muncul kat depan aku ni. Aku yang kesakitan berusahalah mengangkat muka melihat gerangan siapakah jejaka yang baik hati ini. Kalau ikutkan hati malas aku nak angkat muka sebab malulah pula dengan air mata yang bersepah kat pipi. Tapi nanti nampak macam kurang ajar sangat. Orang nak tolong, kita nak sorok muka. Pandang jugalah.

"I'm fine, okey, okey," kata aku sambil mengangkat tangan ke arahnya macam polis traffic tadah tangan suruh orang berhenti.

Dengan pantas juga aku menolak kembali kain kurung yang telah mendedahkan sebahagian besar betisku yang gebu ini secara percuma. Mamat ni pula duk ursya betis aku dari tadi. Ermm, entah mungkin dia tak tengok kut betis aku, mungkin dia tengok pada calar yang kat tumit tu. Manalah aku tahu mata dia.

Aku berusaha kembali untuk berdiri, malu kut dah la duduk tersimpuh depan lelaki mana entah, dekat sangat pula tu. Tapi nak jadi cerita dah elok aku berdiri, tinggal nak tegapkan kaki je lagi, boleh pula sakit tu menyucuk-nyucuk pergelangan kaki yang sakit tadi. Pakai kasut tumit tinggi pula tu. Rasanya kalau aku pakai selipar boleh seimbangkan lagi. Terpelecok pula...

Macam drama sangat kan? Di saat aku hampir rebah ke lantai, sepasang tangan telah menyambut aku di dalam pelukannya. Aku yang terkesima hanya mampu memandang. Aku pandang dia, dia pandang aku, aku pandang dia, dia tetap pandang aku juga. Peristiwa itu berlansung hanya dalam beberapa saat je tapi perjalanan masa itu seolah-olah terhenti. Dah la handsome. Manis pula senyuman di bibir beliau. Dah kahwin ke belum?

Ting! Tong!

Hey Sya cukup-cukuplah tangkap syahdu. Awak tu anak dara, tak manis orang tengok peluk-peluk macam ni. Hatinya yang masih waras, berbisik. Kiesya cepat-cepat melepaskan diri setelah terpana sekejap tadi. Malu pun ada. Tak tahu nak cakap apa. Lidah jadi kelulah pula.

"Maafkan saya, tak sengaja nak sentuh awak tadi. Benda tu jadi secara spontan," kata lelaki handsome itu sambil mengaru-garu kepalanya yang tak gatal. Senyuman di bibir tetap melekat di situ.

Ishh minta maaf apa pula, habis tu takkan nak biarkan aku jatuh macam itu je takyah sambut. Kurang asam juga kau ni.

"Eh sepatutnya saya yang perlu berterima kasih, kalau takda encik err..." Mata aku dah melilau mencari name taq kat baju dia, selalu orang yang bekerja di sini pakai name tag, senang nak panggil nama walau kita tak kenal orang tu. Tapi tak adalah pula. Ini sahih bukan pekerja kat bangunan ni.

"Naufal... Panggil saya Naufal."

"Err ya, terima kasih encik Naufal. Saya..." Ingat nak kenalkan diri tapi tak habis cakap nama lagi dia pula yang sebut.

"Kiesya Humaira kan?"

Dah jadi suspens la pula, macam mana dia tahu nama aku ni? Aku tak kenal dia pun. Penat aku fikir anak siapalah pemuda tampan dan baik hati ni. Nak kata anak ketua kampung, kat kawasan rumah aku takda ketua kampung. Anak tok imam ke? Bukan rasanya. Fikir punya fikir, sah aku tak kenal. Elok tanya jelah.

"Macam mana awak tahu nama saya... Sedangkan kita tidak pernah berjumpa?" Dah macam ayat drama tahun 90'an pula. Mata kebil-kebil bajet macam comel. Ini pun pengaruh cerita Korea juga. Mestilah, depan pakwe handsome kenalah ayu sikit. Ngee.

"Itu dekat name taq awak, tak tahulah kalau awak pakai name taq orang lain," kata Naufal menunding jari ke dada Kiesya yang tersemat namanya, KIESYA HUMAIRA.

Haha. Bengongnya kau ni Sya. Tadi kau sibuk cari name taq orang, sendiri pakai name taq pun lupa. Reaksi apa yang nak dipaparkan di wajah aku sekarang ni? Malu, sedih, marah atau simpan kepala aku kejap dalam kereta, nanti dah okey aku pakai balik kepala. Kalau boleh la. 

"Haa ya, panggil je saya Sya," kataku dengan senyuman kambing terukir. Dah tak boleh nak control ayu sangat dah. Dengan kaki pula yang berdenyut-denyut.

Naufal membalas senyuman Kiesya sambil tidak lepas memandang ke wajah gadis yang tersipu malu itu. Seakan dia melihat satu panorama yang belum pernah terhidang di depan mata. Kiesya menunduk malu ke lantai bila ditatap sebegitu lembut oleh wajah kacak Naufal.

"Anyway, thanks again. Saya sebenarnya ada urusan yang perlu disegerakan." Feeling punya feeling baru teringat motif utama aku yang sebenar. Aku perlu segera ke hospital!

"Okey, tapi you sure kaki tu tak apa-apa?" tanya dia meminta kepastian sekali lagi. Caringlah pula.

"Sikitlah, tapi okey kut, rasa takda apa-apa. Jap lagi hilanglah sakitnya tu." Aku malas nak tipu, memang ada sakit sikit. Kalau cakap tak sakit nampak sangat membongaknya kata orang Negeri Sembilan.

"Saya pergi dulu ya. Terima kasih sekali lagi," kataku sopan. Terus masuk ke dalam kereta Myvi kesayanganku. 

Dah berapa kali aku nak terima kasih, kan. Alah bukan kena bayar pun free je kut, air liur je modalnya. Inilah yang dipanggil Orang Berbudi Kita Berbahasa. 

Baru sahaja Kiesya ingin memasukkan gear reverse, Encik Naufal merapati ke arah keretanya. Dia mengetuk-ngetuk cermin kereta di sebelah pemandu dengan tangannya sambil mengarahkan Kiesya membuka cermin tingkap.

Aduh, apa pula dah. Ni yang buat aku tak senang duduk ni. Dah la dengan tak ada orang dekat sini. Jangan-jangan dia nak rogol aku tak? Mentang-mentang dia terlayan betis aku tadi, lepas tu siap peluk aku lagi tadi. Zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat, tadi nampak baik, bila kita alpa diorang ambil kesempatan. Berapa ramai makcik-makcik yang pernah kena ragut dek hanya kerana menjawab pertanyaan orang. Itu makcik, kalau anak dara tak lagi haru.

Hati perempuannya mula berfikir yang bukan-bukan. Jantungnya berdegup laju.

Alamak macam mana ni. Haa... Teringat spray cili yang aku sentiasa bawa ke mana-mana. Kebetulan ada satu terselit kat HandBreak. Bukan kebetulanlah. Memang aku letak kat situ. Apa-apa hal macam sekarang ni, senang aku nak capai. Dia menggenggam erat spray cili tadi di sebelah tangan kirinya.

Tak apalah buka sikit cermin, kalau dia nak buat pasal tahulah makan penangan semburan cili aku ni. Mahu seminggu jadi buta ni. Jangan main-main. 

Kiesya membuka sedikit cermin keretanya, menunggu kemungkinan yang bakal berlaku. Dengupan jantungnya lebih rancak berdetak.

"This is my card, anything happen, call me."

Lahhh, bagi kad rupanya! Cepat-cepat aku letak balik spray tadi. Entah dia nampak ke tidak. Malu betul!

"Ahh thanks." Aku pun ambil la. Takkan tak ambil. Macam-macam hal kau ni Sya. Eh kitakan orang perempuan. Inilah dipanggil sediakan payung sebelum hujan, buat dia betul-betul nak rogol ke apa tadi. Kan, kan.

Aku masukkan kad Encik Naufal ke dalam beg tangan dan terus membelah awan. Ini bukan naik kapal terbang cik kak oi nak belah-belah awan. Suka hati akulah, cerita aku. Sibuk je kau hati.

1 comment:

  1. Haha. Best2. Garapan yang tak meleret-leret. Keep it up!

    ReplyDelete