SEBENARNYA aku ada tempat lain yang ingin dituju. Bukan rumah, bukan kat atas bukit tempat aku menenangkan otak tu dan bukan juga ke hospital gila. Aku nak ke rumah ayah. Rumah Datuk Mokhzani. Ada sesuatu yang ingin aku pastikan.
Rumah yang didiami oleh Datuk Mokhzani tidaklah jauh dari bangunan Layar Emas Holding. Jika dilihat di dalam peta. Rumah ayah berada di tengah-tengah di antara Layar Emas Holding dan hospital. Betapa strategiknya pemikiran beliau kerana sedar waktunya akan banyak dihabiskan di antara Layar Emas dan hospital.
Sudah hampir dua bulan aku tidak menjegah ke rumah besar ayah. Rumah lagak istana. Mempunyai empat pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk utama. Di tengah perjalanan ke rumah, akan melalui satu lagi pos keselamatan yang dijaga oleh dua orang pengawal keselamatan yang lain.
Sampai sahaja di perkarangan laman hadapan, dia terlihat akan susuk tubuh yang setia menemani ayah ke mana jua. Pak Abu kelihatan sedang leka membasuh kereta kesayangan Ayah, Rolls Royce Phantom. Kereta yang tersangat cantik. Tapi untuk orang baya-baya ayah sesuailah. Kalau untuk aku, tak kut.
"Assalamualaikum Pak Abu."
"Eh Sya... Waalaikumusalam... Dah lama Pak Abu tak jumpa Sya... Dengar itu hari masuk hospital. Dah okey ya?"
"Alhamdulillah takda apa-apa pun. Sya penat je sket. Tapi dah okey." Aku melemparkan senyuman mesra kepada Pak Abu, pemandu peribadi Ayah. Pekerja yang dah berkhidmat, kalau tak silap aku hampir 23 tahun. Lama tu, aku pun budak lagi masa dia mula bekerja dengan ayah dulu.
"Datuk ada di dalam?"
"Ada, ada... Sekejap ya Pak Abu panggilkan Mak Tom... Tom oi Tom, ni Sya datang ni, bukakan pintu," jerit Pak Abu dari luar memanggil Mak Tom. Ketua bagi pekerja-pekerja wanita di sini. Juga telah lama bekerja dengan ayah. Rasa aku berpuluh-puluh tahun juga.
Maknanya diorang ni kenallah bekas isteri dengan anak-anak ayah, kan. A.D dengan arwah adik dia tu. Tapi tulah, seorang pun tak pernah cerita pada aku. Pandai juga diorang ni simpan rahsia. Mesti ayah percaya habis dengan diorang ni semua.
Tak lama selepas tu, Mak Tom membuka pintu besar rumah istana ayah. Pintu ni akan sentiasa berkunci untuk menggelak kejadian tidak diingini. Pernah juga kejadian rempuhan masuk pelbagai agensi menjual barangan, meminta derma. Bukanlah bermaksud ayah ni seorang yang kedekut, tapi kalau dah sampai ke dalam rumah masuknya, kesian dekat orang tua tu nak berehat. Lagipun banyak sangat perkara tak terduga yang telah terjadi, terutama pada rumah-rumah orang kaya macam ayah.
"Masuklah Sya. Datuk ada di belakang. Beri ikan-ikan dia makan rasanya."
"Mak Tom sihat?
"Sihat alhamdulillah... Sya dah makan ke belum? Kalau belum marilah ke dapur. Mak Yah masak nasi ayam hari ni..." Mak Tom memperlawa aku makan.
Mak Yah yang dimaksudkan ialah tukang masak rumah besar ayah. Mak Yah memang hebat memasak. Bekas Chef dari hotel besar. Tinggal di sini sebab sebatang kara. Bekerja agak lama juga. Sebelum aku datang dulu, Mak Yah dah bekerja di sini.
"Kak Aini dengan kak Fatin pergi ke pasar?" tanyaku pada Mak Tom kerana tidak terlihat akan dua susuk badan itu di sekitar halaman depan.
"Taklah, ada kat atas tengah mengemas bilik," jawab Mak Tom lembut.
Kak Aini dan kak Fatin yang merupakan pembantu kepada Mak Tom dan Mak Yah. Tak terjaga rumah besar ni kalau Mak Tom dengan Mak Yah je. Kalau Pak Abu ada urusan dengan Ayah di luar. Kak Aini atau kak Fatin yang akan keluar membeli barang-barang harian.
Kiesya meneruskan langkahnya ke halaman belakang. Tempat yang dimaksudkan oleh Mak Tom tadi. Ayah memang gemar membela haiwan. Dekat belakang tu ada sebuah mini zoo yang menempatkan beberapa jenis haiwan peliharaan. Ada rusa, burung unta, kuda, pelbagai jenis burung, ayam, ikan. Mungkin banyak lagi yang lain kut sebab aku pun tak pernah pusing habis mini zoo ayah. Bau-Bauan. Hehe. Ada tiga orang yang digajikan oleh ayah untuk menjaga haiwan-haiwan kesayangan dia tu.
"Assalamualaikum ayah."
"Eh Sya...Waalaikumusalam. Kenapa tak beritau ayah yang Sya nak datang?"
"Takda apa, saja nak tengok keadaan ayah. Dah berapa hari ni tak tengok rasa semacam pula," kataku jujur.
"Haha... Ada-ada je Sya ni. Semacam yang macam mana tu, risau pula ayah dengar..."
"Dah... Mari duduk di sini, kita berborak sementara tunggu Ajis bawakan durian. Rezeki Sya hari ni. Ada yang dah gugur," tambah Datuk Mokhzani lagi.
Aku tersenyum mengangguk. Kami berborak panjang petang tu. Cuma kali ini lebih mesra, kerana panggilan ayah membuatku tidak canggung untuk bergurau dengannya dan dia suka sekali mendengar gurauan loyar buruk aku. Pak Ajis tukang kebun membawa beberapa biji durian Musang King untuk menceriakan lagi suasana kerana aku sememangnya pengemar setia buah durian! Tetapi di dalam perbualan kami, langsung tidak menyentuh soal surat perjanjian yang mencentuskan hura-hara hidup aku. Kerana ayah telah menerangkan kepada aku tempoh hari kenapa dan mengapa. Tiada sebab untuk aku bertanya lagi.
Setelah selesai menunaikan solat Asar. Kiesya meminta izin untuk pulang. Dia melihat satu persatu wajah-wajah yang menabur bakti di rumah itu. Apakah nasib mereka jika kehilangan rumah itu. Adakah mereka juga akan terhumban ke rumah orang-orang tua. Semuanya tiada saudara mara. Ayah berikan kerja kepada mereka seperti mana aku. Sekali lagi beban yang ku pikul dirasakan semakin bertambah.
Sebelum aku pulang, aku memerhatikan lama rumah besar ini. Mungkin ini kali terakhir aku menjejakkan kaki ke rumah ini. Mungkin juga kali terakhir aku dapat melihat rumah ini sebelum ia berpindah tangan.
Kiesya pulang ke rumah dalam keadaan tenang. Sampai sahaja di bilik dia terus mendapatkan tilam empuknya. Baring mengadap syiling. Melihat putaran demi putaran bilah-bilah kipas yang tergantung setia di atas. Begitulah hidupmu bekerja keras memusingkan diri untuk menyejukkan orang lain. Mata Kiesya berat dan semakin berat. Sedikit demi sedikit dia terus hilang ghaib ke alam mimpi.
AIR milo ais dihirupnya laju. Terasa hausnya tekak. Dah banyak hari sangat tak turun hujan. Bahangnya bukan main. Kalau seminggu lagi tak turun hujan ni, kering kontang tasik-tasik kat Malaysia gamaknya.
"So macam mana ni? Dia terima ke tidak?" soal wanita yang cukup setia berada di sisi Aqil Naufal itu.
"Ermm... Entah la. Tapi dari raut muka dia, kemungkinan besar yang dia akan terima," jawab A.D yakin.
"Baguslah kalau macam tu... Tinggal berapa hari je pun ni. Sayang pula kalau semua-semua tu terlepas kat tangan orang lain kan?" balas wanita itu.
"Memang la. Bukan sikit kut harta si tua tu... Tapi entah la." A.D menggelengkan kepalanya. Walau dia yakin yang Kiesya Humaira akan bersetuju tapi hatinya tetap gundah gulana. Silap aku juga yang buat pasal dengan dia dulu. Kalau tak, takdalah marah sangat dia dengan aku. A.D mengeluh.
"Ala rilek ar... Dia mesti setuju punya. Takkan la dia sanggup nak biarkan kawan-kawan dia hilang pekerjaan kan?" wanita itu cuba menenangkan hati A.D yang nampak jelas gundah di muka.
"Ermm ya..." belum pun sempat A.D menghabiskan ayatnya, terdengar riuh rendah dari belakangnya. Dia berpaling untuk melihat. Belum pun mata sempat memandang, sebiji penumbuk telah melayang tepat menuju ke arah matanya.
A.D jatuh terperosok di bawah meja makan di hadapan gerai makan itu. Berusaha untuk bangun. Namun sebatang kaki laju menyambar perutnya. Dia tertiarap. Belakang badannya pula cepat ditekan dengan lutut. Rambutnya diramas kuat. Kepalanya ditarik kasar ke atas.
"Bila kau nak bayar?" soal lelaki itu cukup kasar. A.D cuba megerling matanya memandang pada lelaki yang memukul curi itu. Tahulah dia.
"Minggu depan, minggu depan," tergopoh-gapah A.D menjawab.
"Betul ni?" tanya lelaki itu.
"Ya betul bos, betul bos. Minggu depan confirm," balas A.D laju.
"Okey! Aku pegang janji kau. Tapi kalau kau tak bayar..." Lelaki yang menekan tubuh A.D itu mengeluarkan sesuatu yang terselit di pinggangnya. Pistol. Kepala A.D diacu dengan pistol itu.
"Minggu depan aku tak dapat duit aku, pistol ni benda yang terakhir kau nampak. Faham!" ugut pula lelaki itu.
"Ya..." perlahan A.D berjanji.
Kepala A.D dilepaskan.
"Chow..." kata pula lelaki itu mengarah rakan-rakannya yang lain untuk beredar dari situ.
Setelah melihat mereka beredar, wanita yang setia di samping A.D menerpa.
"Abang! Abang okey ke ni?" kata dia cukup cemas. Risau sekali riak wajahnya. Nak menolong tak mampu. Hanya melihat dan berdoa sahaja yang termampu. Mujurlah A.D tak diapa-apakan. Berderau darahnya tadi bila melihat pistol itu diacukan.
"Kalau Kiesya tak setuju... Matilah aku," kata A.D agak perlahan. Mengetap giginya.
Tolonglah Kiesya. Bersetuju jelah. Bukan syarikat itu je yang bakal kau selamatkan. Nyawa aku juga Kiesya. Bisik hatinya. Langsung tidak menyangka yang lintah darat tadi berjaya juga menjumpai dirinya. Fikirnya melarikan diri ke Kuala Lumpur, dia selamat. Tetapi tidak.
LENANYA berlalu dengan aman sehinggalah...
"Sya oh Sya... Pengsan lagi ke budak ni? Bangun Sya dah dekat maghrib ni."
Sayup sekali suara itu kedengaran. Kiesya kenal akan suara itu. Tetapi dia seperti tidak berupaya untuk menyahut. Lemah sekali anggota badannya. Tiba-tiba, gegaran yang cukup kuat mengoncangkan anggota badannya. Dia berusaha untuk melarikan diri. Pusing ke kiri dan pusing ke kanan.
"Ish minah ni. Aku simbah air kang apa pun tak dapat."
Simbah air? Simbah air pokok ke? Pokok mana yang nak disimbah. Kenapa tak guna perkataan siram? Siram pokokkan lebih tepat. Kiesya yang masih tidak sedarkan diri, berkhayal. Tanpa ada petanda, dirinya basah. Hujan turun tanpa memberi petanda. Manaku nak lari. Hujan lagi, lagi dan lagi...
Akhirnya dia terjaga setelah agak kuyup mukanya direnjis oleh Zira.
"Wah hujan, hujan, hujan... Payung!" Dia tersedar dari tidur dalam keadaan meracau. Dalam keadaan separa sedar, dia mendapati satu lembaga begitu hampir dengannya. Ditatap wajah itu, Ziralah. Zira yang memandang sambil menggelengkan kepala. Seberkas mangkuk berisi air di tangannya.
"Ya Allah Kiesya... Itulah orang dah kata jangan tidur dekat-dekat maghrib. Kau sedar ke tak sedar lagi ni. Ke nak aku simbah semangkuk ni terus." Zira menunjuk pada Kiesya mangkuk yang yang berisi air.
"Haa... Mengigau rupanya." Lemah sekali suara yang dilontarkan, serentak dengan itu Kiesya merebahkan badannya semula, kali ini di atas pangkuan Zira.
Terasa helaian rambutku diusap lembut oleh jari jemari Zira. Selesa sungguh ku rasa. Teringat akan usapan arwah ibuku dahulu. Kalaulah dia masih ada..
"Kenapa ni Sya... Tak sihat ke?"
Kiesya mendiamkan diri seketika. Ada sesuatu yang ingin dia bertanya. Ada sesuatu yang ingin dia tahu. Sesuatu yang mungkin dapat memberi dia ilham dalam membuat keputusan yang betul. Sesuatu yang mungkin dapat meleraikan kekusutan yang sedang menghurungi ruang benak jiwanya itu.
"Zira... Kalau kau terpaksa korban diri demi kepentingan orang lain. Kau rasa wajar tak?" Zira kehairanan mendengar persoalan yang baru ditanya oleh Kiesya. Dia berfikir sejenak.
"Maksud kau macam askar, macam polis tu ke yang sanggup korbankan diri demi agama, negara dan bangsa?"
"Lagi?" Aku meminta lebih penjelasan.
"Yalah macam diorang tulah contoh terbaik untuk soalan kau tu. Ada yang mati, ada yang cacat seumur hidup ada yang gila sebab tekanan perasaan."
"Kenapa diorang sanggup kalau dah tahu jadi macam tu?" tanyaku lagi.
"Itulah dipanggil pergorbanan, mereka sedar apa yang bakal mereka hadapi tapi macam aku cakap tadi demi tanah air contohnya mereka sanggup berkorban diri asalkan rakyat keseluruhannya berada dalam aman dan makmur," balas Zira cuba memperjelaskan erti pengorbanan mengikut apa yang dia faham.
"Macam abah aku, kau tahukan dia polis. Bertugas tak kira masa, bahaya sentiasa ada. Tapi kalau diorang tak buat, siapa lagi," kata Zira lagi. Bersungguh sekali dia menerangkan erti pergorbanan pada Kiesya, walaupun dia sedikit pelik dengan soalan yang ditanya oleh kawan baiknya itu.
Aku cuba memahami isi-isi yang cuba disampaikan oleh Zira. Tapi itu pun sebab diorang dah diberi upah. Cuba kalau diorang bekerja secara percuma je, mesti diorang pun tak mahu aku rasa. Macam aku, kalau aku sedia berkahwin dengan mangkuk tu, memanglah orang lain semua selamat. Tapi aku? Dapat apa?
Memang apa pun aku tak dapat la. Badan aku pula tu tergadai dekat si badak tu. Nama pun kahwin. Dah la aku benci dia. Benci bukan sikit-sikit pula tu. Malu dapat. Naufal dah tentulah tak nak kat aku lagi. Aiii...
"Tapi kau rasa ada ke orang nak bertugas tanpa mengharapkan apa-apa balasan, hanya untuk korbankan diri demi kesenangan orang lain?" soal lagi Kiesya pada Zira kerana jawapan yang dia terima belum cukup menyakinkan dirinya.
"Ada... Mestilah ada. Cuba kita lihat balik perngorbanan orang terdahulu yang menentang penjajah. Zaman Portugis, zaman British, zaman Jepun, Komunis semua tu. Berapa ramai yang mengorbankan diri demi untuk mendapatkan kebebasan. Diorang tak minta apa-apa pun, cuma mahu melepaskan kita dari cengkaman penjajah..."
"... Cuma dalam era moden ni apa-apa sumbangan atau keringat akan dibayar setimpal dengan apa yang kita beri. Di bayar gajilah maksudnya. Walaupun diorang dah berikrar berjanji untuk mempertahankan negara tetapi dalam masa yang sama negara telah berjanji untuk membayar bagi setiap tenaga dan keringat yang diorang sumbangkan," terang Zira panjang lebar.
Kiesya terdiam sejenak, seakan mendapat sesuatu dari penerangan Zira tadi.
"Diorang berjanji dan negara berjanji?" Kiesya berkata sendiri. Dia mengulangi ayat itu lagi sebanyak tiga kali. Zira semakin hairan.
"Dah kenapa kau ni Sya... Seram pulak aku tengok... Macam nilah Sya, kata ringkasnya ialah perjanjian dalam perjanjian."
Di saat Zira menyebut 'Perjanjian Dalam Perjanjian', Kiesya seakan dipanah petir. Dia mengetap bibir. Ya... Ayat itu seolah memberi nafas baru pada dirinya. Ayat itu telah memberi ilham kepadanya. Kenapalah aku tak terfikir sebelum ni. Lembab betullah aku ni. Terima kasih Zira!
Wajah Kiesya kembali berbunga. Dia sudah mampu tersenyum. Akhirnya dia berjaya mendapatkan cara.
"Zira... I love you!" Dia menjerit seperti orang sasau. Lalu mencium Zira bertalu-talu sambil mengulangi ungkapan i love you berulang kali. Zira tidak berkata apa cuma mempamerkan trademark mulut terlopongnya. Hairan sehabis hairan dengan telatah pelik rakannya itu.
"Kenapa kau ni? Sah kau ni kena sampuk ni Sya." Zira mempamerkan riak wajah risau. Mahu tak risau dengan kawan dia seorang ni. Tiba-tiba tanya pasal pengorbananlah, tiba-tiba perjanjianlah, tiba-tiba i love you pula.
"Perjanjian dalam perjanjian!" Kiesya mengulangi semula ayat itu sambil memperlihatkan barisan giginya kepada Zira. Kehairanan Zira sudah berada dipuncak. Dia tak mahu lagi masuk campur. Takut dirinya turut tersampuk.
"Ish malaslah aku layan kau, nanti tak pasal aku pula yang mereng. Itulah lain kali jangan tidur dekat maghrib. Ermm, muda-muda lagi dah gila. Dunia oh dunia."
Zira berlalu pergi meninggalkan Kiesya dengan mulut terkumat-kamit membebel-bebel mengatakan Kiesya yang dah gila. Ya Zira kawanmu ini hampir gila jika tak keranamu. Terima kasih, i love you so much.
Tapi minta maaf Zira aku tak boleh beritahu perkara ni pada kau. Tak boleh juga pada orang lain. Aku tak nak orang lain tahu. Aku tak nak Naufal juga tahu. Aku tak nak dia terluka. Biar aku yang handle sendiri. Aku yakin, aku mampu melaksanakan misi ini seorang diri. Ya, aku yakin!
KIESYA begitu bersemangat sekali melangkah ke tempat kerja. Tak sabar sekali untuk dia bertemu dengan Mr.A.D. Ya aku tidak sabar. Ahh tak payah nak bermister misterlah dengan aku. Lepas ni aku panggil kau A.D je. Lepas ni kau kena dengar cakap akulah, bukan aku yang kena dengar cakap kau. Hahaha.
"Mana mangkuk ni tak datang lagi. Dah pukul sepuluh kut," kata Kiesya sendiri.
Tidak seperti biasa, kelibat A.D belum kunjung tiba. Berbeza sekali dengan ayah. Seawal pagi sudah bersedia di dalam bilik bosnya. Manalah pula dia ni. Jangan buat tak datang kerja pula. Dia fikir dia sorang boleh gegar aku. Aku pun boleh la. Inikan Keisya, pembuat kopi tersedap di dunia.
Tunggu punya tunggu sambil-sambil membantu Husni menyelesaikan urusan pejabat, tak datang-datang juga mamat tu. Aku tanya Husni, dia pun tak tahu. Manalah ayah tak risau dengan dia. Lama-lama lingkup juga company ni. Dia ni nak kena ada seorang pembimbing pencetus ummah macam aku. Baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah. Ummah ke?
Tepat pukul lima, kelibat A.D tidak juga kelihatan. Kiesya hampa. Hampa sebab A.D tidak datang kerja. Bos tak datang kerja tak mengarut ke? Cukup ke masa setahun yang ayah bagi tu. Apa jadi kalau tak berjaya Sya? Takpalah kita usahakan dulu. Selebihnya aku berserah pada Allah.
"Sya!"
Kiesya menoleh ke belakang melihat ke arah pemanggil namanya. Umi dan Siti melambai-lambaikan tangan. Ada yang aku tertinggal ke tadi? Mereka menghampiri dirinya tergesa-gesa.
"Hang nak pi mana ni Sya. Tak jadi ka?" soal Umi.
Kiesya yang kehairanan dengan soalan Umi itu cuba memusatkan tumpuan untuk mengingati semula apa yang dimaksudkan. Apa yang tak jadi? Apa yang aku lupa? Adui apa ni. Come on Sya, jangan sampai kena bahan pula nanti. Penat dia berfikir tapi masih tidak mengigati apa-apa.
"Haa tengok Siti, dia lupa dah," Umi mencebik mulut.
"Hari nikan kita dinner kat rumah Umi, Sya." Siti cuba mengingatkan dirinya. Dia berfikir kembali.
Haah, hari tu Umi ada ajak aku datang ke rumah. Betul ke hari ni. Aku betul-betul tak ingat. Mak Umi memang ada pelawa datang ke rumah. Tapi betul ke hari ni. Serius aku memang dah lupa hari apa. Ni semua pasal perjanjian tulah.
"Hari ni ke Umi?"
"Yalah hari nikan lapan haribulan. Dah lupa?" Umi kali ini dah mencekak pinggang. Muka dah nak masam.
"Oh haha... Ya betul-betul. Hari nilah... Takkanlah aku lupa. Hahaha." Aku buat-buat ketawa sambil menepuk-nepuk belakang bahu Umi. Mampus aku kalau cakap tak ingat walaupun serius aku tak ingat. Habis kalau dalam kepala asyik fikir pasal perjanjian tu je, mana nak ingat benda lain. Dah la tak datang kerja hari ni. Pasal kau juga nyaris Umi masam muka dengan aku.
Petang itu mereka terus bergerak ke rumah Umi. Sorry la Umi memang aku tak ingat langsung. Entahlah dalam seminggu ni macam-macam benda yang jadi kat aku. Memang dah biasa aku dan kawan-kawan sekerja yang lain bertandang ke rumah Umi. Paling tidak pun sebulan sekali. Mak Umi, makcik Aminah suka memasak. Sedap dia masak. Memang aku tak tolak kalau dia pelawa.
Sampai sahaja di rumah Umi, macam biasalah orang perempuan, kan. Laga-laga pipi dengan mak dan adik perempuan Umi. Tanya khabar semua cukup. Selepas tu aku dengan Siti naik ke bilik tetamu untuk bersihkan diri. Aku kalau datang ke rumah Umi dah macam rumah aku sendiri. Sejadah, telekung, baju semua dah siap sedia. Pakai baju adik Umi je sebab kami sama saiz.
Waktu maghrib kami sembahyang berjemaah, diimamkan oleh abah Umi, pakcik Mael. Seorang bekas tentera bersara. Sekarang dia bekerja sebagai pemandu teksi. Lepas siap semua, kami turun ke tingkat bawah untuk upacara utama. Makan. Sampai muntah kalau boleh.
"Banyaknya masak ni makcik, siapa nak makan banyak-banyak ni."Aku berseloroh. Rasa kami berenam ni pun tak mampu nak habiskan semua lauk pauk yang ada ni. Rajin betul mak Umi ni. Selalu taklah banyak macam ni.
"Sapa lagi nak makan, hangpa la. Tak habis, siap hangpa. Jangan balik rumah." Makcik Aminah mengugut dalam gurauan. Pakcik Mael berhenti menyudu kuah ke pinggan. Ada yang ingin dia katakan.
"Toksah dok layan makcik hang ni. Kalau tak habis biaq dia perabih sorang. Masak macam nak buat kenduri." Pakcik Mael menjeling ke arah isterinya. Marah sedikit nampak gayanya. Mereka yang lain hanya memerhati. Tak sah kalau aku datang sini diorang tak bertengkar manja.
"Ish abang ni." Disertakan satu cubitan ke pinggang suaminya yang duduk di sebelah. Meliut-lentok tubuh pakcik Mael menahan sakit. Kami yang sedari tadi memerhatikan hubungan mesra di antara suami dan isteri itu tidak mampu lagi menahan ketawa.
Orang utara yang aku kenal memang cakapnya kuat sikit, gegak gempita kalau geng-geng utara tengah menyembang. Kalau bergurau pun boleh tahan. Dah macam bergaduh. Kalau tak kenal memang nampak pelik.
Bahagia betul Umi. Ada abah, mak, adik yang sentiasa bergurau sesama mereka. Aku... Sebatang kara. Rindunya Sya dengan mak dan ayah. Rindunya aku pada adik-adik aku. Teringat pula pada arwah keluarga. Kalaulah diorang ada lagi...
Di saat Kiesya mengenangkan nasibnya, mata dia terpandang akan satu bingkai gambar yang digantung kemas di dinding. Pakcik Mael segak bergaya dengan seragam tentera sambil terselit selaras senapang di sisi badannya.
Bukan tak pernah tengok, tapi teringat kembali pada kata-kata Zira semalam berkenaan dengan perjuangan orang terdahulu yang bekorban demi untuk mendapatkan kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan.
Lama dia memerhatikan gambar itu sehingga kelakuannya itu mendapat perhatian dari mereka.
"Eh Sya, aku tengok dari tadi lagi hang dok perati gambag abah aku tu, awat hang nak jadi askar ka?" Umi menegur.
Ketika itu semua memandang pada dirinya dan memandang pula pada gambar pakcik Mael yang diperhatikan oleh Kiesya tadi. Dia tidak menjawab. Segera dia memasukkan sesuap nasi ke dalam mulut. Alahai terkantoi la pula.
"Itu masa pakcik berumur 25 tahun. Rijemen Askar Melayu. Atau kata singkatan RAMD. Rijemen Askar Melayu Di raja," kata pakcik Mael tanpa dipinta, penuh semangat. Teringat kembali dia pada perjuangannya dahulu ketika menentang komunis bila menatap gambar dirinya yang segak bergaya di dalam bingkai gambar itu.
"Pakcik tak takut ke masa jadi askar dulu?" Kiesya berminat ingin tahu. Memandangkan pakcik Mael seakan teruja ingin bercerita lebih.
"Kita ni manusia Sya. Bohonglah kalau tak takut. Tapi demi negara pakcik dan kawan-kawan yang lain buang jauh-jauh perasaan takut tu. Kalau bukan kami yang lawan komunis. Siapa lagi?"
"Yang penting kita letakkan azam, untuk apa aku bekorban. Adakah untuk diri sendiri atau demi maslahat orang ramai. Urusan mati, cedera, menang, kalah itu kita serah pada Allah," tambah pakcik Mael lagi.
Kiesya mengangguk faham. Betul la seperti apa yang Zira kata semalam tu. Betul la ada orang yang sanggup bekorban demi untuk kepentingan orang lain, bukan sekadar pangkat, nama dan harta sahaja... Tapi sudah alang-alang bertanya.
"Pakcik rasa berbaloi?" soal Kiesya lagi. Mereka yang lain sedikit kehairanan. Berminat pula si Kiesya ni dengan cerita askar ayah Umi. Sebelum ni datang tak pernah pula bertanya pasal ni. Musykil.
"Minat betul kau ni Sya dengan askar. Pelik pula kau ni." Umi mencelah. Kehairanan melanda dirinya. Setahu dia Kiesya yang dia kenal memang tak berminat atau tak pernah ambil tahu pun pasal askar atau tentera. Dah berapa kali dia datang ke sini. Dah berapa tahun diorang kenal.
"Bukan macam tu Umi, abah rasa Kiesya mahukan satu kepastian. Sebab pengorbanan bukan setakat untuk askar sahaja," balas abahnya membetulkan anak perempuannya itu. Seakan dia mengerti. Yalah bukan dia tak pernah tengok gambar tu. Pada firasat pakcik Mael mesti ada sesuatu yang Kiesya ingin tahu.
Pakcik Mael ni macam boleh baca pula fikiran aku. Patutlah dia cepat naik pangkat masa jadi askar dulu. Hebat rupanya. Makcik Aminah pernah ceritakan pada aku dulu soal kenaikan pangkat suaminya. Memang drastik kenaikan pangkat dia. Orang lelaki ni lain sikit. Memang cepat otak mereka menangkap sesuatu berbanding orang perempuan. Semua lelaki kah? Tak juga kut.
Kiesya tidak berkata hanya mengangguk mengiyakan kata-kata dari pakcik Mael. Dia hanya menunggu kata-kata yang akan keluar dari abah Umi itu.
"Cuba kita tengok kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Aman dan makmur tak?" soal Pak Cik Mael secara umum.
Mereka berempat termasuk adik Umi mengangguk kepala seperti anak-anak murid di dalam kelas mengiyakan pertanyaan oleh abah Umi tadi.
"Puas hati tak askar-askar dulu terkorban untuk dapatkan keamanan yang kita rasai sekarang ni?" Pakcik Mael meninggalkan soalan itu untuk kami berfikir sendiri seraya dia bangun menuju ke sinki membasuh tangan. Kesemua mereka tanpa berfikir panjang, menganggukkan kepala masing-masing.
Ya kalau pergorbanan aku dapat memberi keselesaan pada orang lain, ya aku puas hati. Lagipun hanya aku yang mampu menjalankan tugas ini. Hanya aku sahaja. Mahu atau tidak, aku terpaksa lakukan juga.





No comments:
Post a Comment