AQIL DANISH membawa Kiesya ke halaman hadapan rumah. Dia meletakkan tubuh gadis itu di atas buaian. Tanpa berkata apa-apa, dia pergi mendapatkan mesin pemotong rumput yang berselerakkan di atas tanah. Kiesya memerhatikan sekeliling. Kelihatan sebahagian tempat telah dipotong rumputnya. Jadi barulah dia tahu ke mana menghilangnya A.D ketika dia di kolam tadi.
Dari kesan mesin pemotong rumput yang berselerak tadi, mesti dibuka dan di letakkan dengan tergesa-gesa. Mesti masa tu terdengar jeritan tolong aku tadi. Risau juga dia kan. Tapi itulah dia ni, dulu aku minta tolong sama-sama bersihkan kolam, tapi akhirnya dia yang cuci sorang-sorang. Lepastu semalam aku minta tolong sama-sama berganding bahu bersihkan semak samun ni, tapi dia juga yang buat sendiri. Aku di biarkan gembira di dalam kolam sabun ciptaan dia.
Bagus memang bagus dia ni. Cuma setakat ni masalah yang aku nampak, perempuan atau kaki betina. Berapa banyak awek dia pun aku tak tahu. Dulu masa jumpa kat French Restaurant perempuan lain. Apa entah nama dia, ermm Bella kalau tak silap. Jumpa pula si Tasya pun perempuan yang lain. Yang aku belum jumpa entah berapa ramai lagi. Buaya oh buaya.
Tapi sebuaya buaya dia tak ada pula dia nak terkam aku, mungkin sebab aku dah letakkan siap-siap dalam perjanjian tu tak boleh ada hubungan suami isteri. Kalau ikutkan hati memang risau juga dengan perangai buaya dia ni. Tadi pun sikit je lagi nak kena cium. Ehhh dia pernahlah cium aku masa mula-mula dekat kolam dulu. Geram pula bila difikir-fikirkan.
Malas nak layan aku ke senyap je buaya ni. Mungkin sebab dia dah kenyang kut. Aku tengok dalam Discovery Channel, buaya kalau dah kenyang memang dia buat bodoh je kalau makanan lalu depan dia.
"Sya hari ni nak masak apa?" A.D tiba-tiba bertanya.
Alamak buaya dah tanya pasal makananlah. Dia dah lapar semula. Aku dengan basah-basah ni dah macam seksilah pula. Pakai t-shirt je pula tu.
"Makan buaya kut." Kiesya menjawab tanpa double checking.
"Haaa?" A.D memandangku kehairanan.
Alamak... Hehe... Tersasul pula. Asyik fikir pasal buaya je, cakap pun dah terkeluar buaya. Tapi tengok dari reaksi dia tadi confirm buaya tak makan buaya. Kalau aku tak nak kena makan dengan dia maknanya aku kena bertukar menjadi buaya juga ke? Macam mana nak jadi buaya, takkan aku nak bawa lelaki balik rumah pula?
Aku rasa baik aku test dia. Jadi gatal sikit. Macam buaya jugalah tu. Selalu aku tunjuk alim pun dia nak sebat aku juga. Kalau berterusan macam ni, rasa kenal sental juga aku satu hari nanti dengan buaya ni. Ya! biar aku berlakon yang aku ni macam buaya juga. Buaya takkan kena makan dengan buaya! Boleh ke Sya? Alahh cuba dulu. Tak cuba tak tahu.
Kiesya menyelak sedikit seluarnya sehingga ke atas lutut. Ingin mencuba adakah takulannya benar.
"A.D... Mari kejap." Panggil Kiesya dengan suara yang cukup manja.
A.D berjalan gagah ke arah Kiesya dengan lagak superhero. Pelik dengan tingkah laku gadis yang satu itu.
"Kenapa?"
"Tolong saya garukan kat betis tu. Gatal la, kena gigit nyamuk rasanya." A.D memandang kehairanan.
"Awak ni dah macam budak kecik kenapa? Garulah sendiri. Dah besar panjang nak suruh orang garu betis dia." AD segera berpatah balik ke kawasan yang dia tinggalkan tadi.
Haha Yes! Macam berjaya je. Betullah tu teori aku. Tak nak pula dia sentuh betisku yang mulus tulus ni. Aku dah dikira buayalah ke apa ni? Tapi tak sama level dengan dia lagi. Aku ni baru taraf anak buaya je kut. Macam best pula. Nak test lagilah. Nak buat apa pula Sya? Tengah fikirlah ni. Okey dapat dah.
Kiesya pun berjalan melangkah ke arah A.D dengan gaya menggoda. Dia meniru seperti mana gaya Tasya berjalan.
"A.D boleh tolong Sya tak?" kata Kiesya memaparkan senyuman menggoda dengan liuk lentuk badan yang tergedik-gedik.
"Sya pergi duduk sana, ada banyak kerengga dekat situ." A.D muncungkan mulut menunjuk ke arah sarang kerengga yang tidak jauh dari aku.
Wakaka, tengok buaya aku menjadilah. Tak pasal-pasal kerengga yang dapat susah. Kejap lagi jahanamlah sarang kerengga tu kena rodok dengan si A.D. Maafkan saya kerengga. Saya tak jahat. Dia yang jahat.
Ish pelik juga si A.D ni kan, aku siap kelip-kelip mata tadi penuh menggoda, tak jalan juga. Kalau akulah jumpa perempuan tergedik-gedik macam yang aku buat tadi, rasa nak bagi siku je. Tapi macam mana aku nak jadi buaya yang mengancam haa? Ish takkan nak berbogel pula depan dia, itu bukan dah jadi buaya lagi, itu lauk namanya.
Nantilah aku fikirkan. Baik aku pergi mandi dulu lepastu masak apa yang patut. Perut pun dah mula nak meragam. Nanti bising pula A.D takda benda nak dimakan. Kiesya melangkah untuk masuk ke dalam rumah.
"Nak pergi mana tu?" A.D tiba-tiba menyoal.
"Nak pergi mandilah. Kenapa nak ikut?" Kiesya memandang A.D penuh ghairah dan menonggekkan sedikit punggungnya. Auww...
A.D tersenyum curiga dan mengeleng-gelengkan kepalanya. Gelihati dan hairan melihat perwatakan Kiesya yang agak pelik.
Wahaha jadi lagi. Kalau aku tahu awal-awal teori ni dah dari hari pertama lagi aku berlagak jadi buaya. Ini baru buku bertemu ruas. Baru penumbuk bertemu penumbuk, baru kaki bertemu kaki. Baru siku... Arghhh banyak pula anggota badan yang nak kena sebut. Sebutlah sendiri.
Selepas siap mandi, Kiesya termenung seketika di hadapan almari pakaian. Sedang memikirkan pakaian yang sesuai untuk menampakkan yang dia seperti buaya. Nak pakai skirt aku takda skirt. Seluar skinny adalah. Seluar sendat paras lutut. Boleh la ni. Masih lagi dengan eksperimen buayanya.
Dia turun tangga sambil menyanyi gembira. Perkara yang biasa yang dia buat ketika di rumah lama bersama Zira. Menuju ke dapur untuk menyiapkan hidangan yang boleh di makan nanti oleh mereka berdua. Sekali sekala dia menuju ke hadapan untuk melihat apa yang A.D sedang lakukan. Wah rajin betul. Dah hampir nak siap. Barulah macam rumah orang. Bersih!
Kiesya yang melihat A.D berpeluh-peluh mendapat satu idea. Terdetik di hati mungkinkah dia dahaga? Ting! Masa untuk menyakat! Sementara menunggu daging rendangku kering dan empuk akan ku empukkan diriku di hadapan A.D. Lihatlah sang graduan dari Universiti of Crocodile beraksi.
Dia pergi mendapatkan segelas air dan menuju ke halaman depan rumah. Macam mana cara pula ni Sya nak jadi buaya? Ermm sebenarnya aku teringin nak berjalan cat walk, macam orang kaya-raya tu, macam model baju tu. Sambil tangan diangkat sedikit terbuai-buai. Okey... Bolehlah.
"A... D.. " Laung Kiesya memanggil A.D dengan suara yang cukup manja.
Dia berjalan ke arah A.D sambil memegang segelas cawan berisi air. Sebelah tangan lagi diangkat sedikit, terbuai-buai. Dia silangkan kaki apabila berjalan persis model yang sedang memperagakan fesyen pakaian terkini. Kiesya memandang tepat ke arah A.D dengan senyuman. Wajahnya tidak berpaling ke arah lain. Hanya tepat memandang wajah si kacak A.D.
Langkah kakinya sedikit demi sedikit makin menghampiri A.D, hanya tinggal beberapa langkah lagi, sekali lagi perkara yang tidak dihajati terjadi. Hajat di hati untuk menggoda A.D tidak menjadi. Mungkin ini balasan untuk aku yang mahu bertukar menjadi buaya. Bukan betul-betul pun, berlakon je pun. Waaaaaa...
Berlakon tak berlakon benda dah jadi Sya. Kaki kau dah terpijak seketul batu bulat sekarang ni. Kaki kau dah terseret ke hadapan. Tunggu masa je nak jatuh. Lain kali jalan macam biasa. Gatal nak jalan cat walk! A.D pun nampak gayanya masih lagi tercenggang. Maknanya tak ada harapanlah dia nak sambut kau Sya. Sorry to say, bersedialah untuk jatuh tergolek. Tidakkk!!!
Malang betul!
Kiesya jatuh dalam keadaan yang cukup memalukan. Jatuh terlentang ke belakang. Benci betul!! Mujurlah kepala jatuh betul-betul di atas serumpun rumput. Kalau atas batu tak jadi cerita lain. Sakitnya belakang badan, Allah sahaja yang tahu. Dan lebih memeritkan gelas kaca yang berisi air tadi pun jatuhlah sekali kan. Jatuh sahaja tak apa juga, tapi pecah betul-betul kat tangan. Masa tu tak perasan lagi.
"Keisya! Are you okey?" A.D sudah berada di sebelah aku rupanya.
A.D ni pun satu hal, selalu cepat je tangan dia tu nak sambut aku dari terjatuh. Kenapa tak sambut tadi. Tak guna punya A.D. Dasar badak lembab!
"Berdarah." Satu perkataan yang keluar dari mulut A.D.
Berdarah ke? Dekat mana? Rasa macam seluruh badan aku je berdarah. A.D segera mengangkat Kiesya masuk ke dalam rumah dan meletakkan dia di atas sofa. A.D tanpa sepatah kata berlari menuju ke arah dapur. Kiesya yang masih lagi kepeningan mengangkat tangan untuk memicit kepala.
"Wahhhhhh...!!" Dia menjerit ketakutan.
Rupanya tangan aku berdarah. Berdarah sebab terkena gelas kaca yang pecah tadi kut. Banyaknya darah. Kiesya memalingkan muka, tak berani nak menatap lama tangan yang berdarah itu. A.D sudah kembali membawa sebekas air dan sebuah peti kecemasan.
"A.D... Sakit..." Kiesya memandang wajah A.D dengan kesakitan yang bercampur ketakutan.
"Ya saya tahu, Sya jangan risau, sikit je ni."
A.D mengerjakan tangan Kiesya yang berdarah tadi. Gadis itu langsung tidak berani memandang. Terasa tangannya diusap lembut dengan kain. Sesekali dia mengaduh sakit.
"Okey done."
Kiesya memberanikan diri melihat ke arah tangannya, sudah siap dibalut. Seluruh tapak tangannya berbalut. Macam besar je lukanya.
"Besar ke luka saya?" Kiesya bertanya seperti tikus, sang buaya telah disumpah menjadi sang tikus. Gatal sangat nak jadi buaya, kan dah kena. Nasib dekat tangan, kalau kat muka? Kat perut?
"Sikit je, dekat sini." A.D menunjuk ke tapak tangannya memperlihatkan pada Kiesya di mana luka terjadi.
Selalu kalau sakit-sakit macam ni bolehlah manja-manja dengan Zira. Tapi ni takkan nak manja-manja dengan dia pulak. Tapi maluuuu... Bila diingat kembali bagaimana terjatuhnya empayar buaya aku yang baru mula hendak dibina. Jatuh depan dia pula tu. Kalau aku ni boleh bertukar dah aku menyelam dalam sofa ni jadi kutu sofa sekejap.
"Lain macam saya tengok awak ni sejak dari kolam tadi." A.D memandang Kiesya atas dan bawah.
"Dengan seluar skinnynya," tambah A.D lagi.
Kiesya yang baru tersedar setelah mendengar ucapan tulus ikhlas oleh A.D tadi cepat-cepat mengambil bantal sofa yang berada di sebelah dan meletakkan di atas badan bawah pinggangnya. Tak guna punya buaya, sempat lagi tu. Tapi bukan salah dia pun, kan. Aku yang sengaja pakai. Macam mana ni Sya nak teruskan ke lakonan buaya kau ni? Entah... Sakit-sakit ni macam mana nak jadi buaya.
"Ish bau apa ni?" Hidungku tiba-tiba berjaya menangkap sesuatu bau. Haaa daging tadi!
"Cepat A.D pergi tutupkan api, macam dah hangus je. Cepat, cepattt..."
A.D berlari ke dapur dan tak lama kemudian kembali dengan muka herot empat belas. Hanguslah tu. Bau pun dah tahu. Penat je aku goreng kerisik bagai semalam. Nak makan apa pula dah, nak masak lagi pun takda mood pula dengan tangan berbalut macam ni. Muka masam. A.D perasan.
"Takpalah kita makan pizza je boleh?" A.D memberi cadangan. Aku mengangguk sahaja. Pizza pun pizzalah. A.D pergi mengambil handphone dan menelefon seseorang. Order pizza kut. Setelah membuat pesanan, A.D keluar semula ke halaman depan meninggalkan aku terbaring keseorangan di atas sofa. Nak sambung kerja katanya. Tak lama selepas itu dalam 25 minit, pizza yang diorder telah sampai. A.D masuk, meletakkan pizza di atas meja sofa.
Aku berusaha untuk bangun. Sakitnya belakang badan aku. Ingat dah okey. Bila bangun je sakit yang amat. Entah-entah ke, lebam-lebam.
"Awak jangan gerak dulu, baring je kat situ." A.D yang perasan raut wajah sakit Kiesya, meminta untuk dia tidak bergerak.
"Habis nak makan macam mana?" tanyaku pada A.D.
"Saya suapkanlah, awak nak yang mana?" A.D meminta aku memilih pizza yang aku suka sebab si buaya gemuk ni beli sampai empat jenis pizza yang berlainan. Yang besar sekali pula tu. Punyalah banyak. Siapalah yang nak habiskan ni. A.D... A.D...
"Tu yang ada mushroom..." Aku muncungkan mulut menunjuk pada salah satu pizza yang ada mushroom.
Tiba-tiba kuasa jahat dah menular masuk ke fikiranku. Rasa macam nak kenakan A.D lah. Rugi pula kalau tak ambil peluang yang sedia terhidang ni. Asyik aku je selalu terkena dengan dia. Hehe. Di saat pizza mushroom yang hendak disuap oleh A.D hampir sampai ke mulut Kiesya...
"Sya tak naklah mushroom, Sya nak yang daging tu." Kiesya mengelengkan kepala dan muncungkan mulutnya pada pizza daging pula. A.D yang baik hati pun meletakkan kembali pizza mushroom dan mengambil pula sepotong pizza daging. Seperti tadi bila hampir sampai sahaja ke mulut, Kiesya mengelengkan kepala.
"Sya lupa hari ni tak boleh makan daging, hari ni kan hari vegetarian sedunia. Nak yang sayur tu jelah." Kiesya muncungkan pula mulut pada pizza sayur. Tak makan daginglah sangat. Padahal rendang hangus yang kau buat tu bukan rendang daging ke? Alaaa tahulah... Saja nak sakat A.D. Bukan selalu. Asyik aku je kena selama ni. Bagi chancelah pula dia yang kena. Tu pun nak kecoh kau ni hati. Tengok sudah la.
A.D yang pada mulanya terdiam sejenak kerana memikirkan tentang hari vegetarian sedunia. Tak pernah pula dia dengar ada hari yang macam tu. Tak kisahlah. Mungkin Kiesya lebih tahu dari dirinya. Dia buat sekelian kalinya, meletakkan pizza daging itu dan mengambil pula sepotong pizza sayuran. Sama seperti tadi cuba menyuap pada mulut Kiesya dan gadis itu sekali lagi mengulangi perangai menyakatnya meminta pizza yang lain pula.
"Alahh... Lupa, Sya alah pada sayur, ambik pizza cheese tu jelah..." Muncung pula pada pizza cheese. Terkebil-kebil matanya. Bajet cun.
A.D hilang sabar, tahu dia dipermainkan. Menaikkan biji matanya ke atas. Hehe. Tapi dia ikutkan juga kerenah aku. Dia meletakkan kembali pizza sayur dan mengambil sepotong pizza cheese. Dia ambil pizza cheese tu tetapi kali ini pizza itu tidak dituju kepada mulut aku, tapi mulut dia! Dia makan pizza cheese tu tanpa mempedulikan aku. Woi aku ni nak makan apa woi.
"Ambillah sendiri, banyak cekadak pula awak ni..." A.D sound aku tepek. Padan muka kau Sya. Kahkah. Ehhh aku pula. Dialah padan muka. Tengok mamat tu dah naik angin. Aku okey je tak angin pun.
Tapi aku tak boleh biarkan. Kalau macam ni aku dikira kalah. Dia pula yang sedap melantak pizza sorang-sorang. Kiesya menunjukkan muka yang teramat sedih, sesekali dia mengaduh sakit meminta simpati A.D. Melihat akan kelakuan Kiesya seakan anak kucing mengiow meminta makanan, A.D tidak sampai hati. Dia mengambil sepotong pizza mushroom dan suap ke dalam mulut Kiesya. Kiesya tersenyum gembira. Riang sekali hatinya bila dilayan baik oleh AD. Win 3 points! Yeay!
Tapi pandai betul dia suap aku yang mushroom. Memang itu yang aku paling suka pun di antara keempat-keempat pizza ni.
"Kenapa dengan awak ni? Pelik betul, tak macam selalu." A.D memandang dengan pandangan yang redup.
"Mana ada pelik, orang sakitkan memang macam ni." Kiesya tidak memandang pandangan mata yang redup itu.
"I dont think so, Sya yang saya kenal tak macam ni. Ermm, sejak awak tertelan air sabun kolam tu. Jangan-jangan awak keracunan tak?" A.D memandang dengan tajam pula, menaikkan sebelah keningnya. Sempat aku menjeling.
Apalah rancangan mamat ni, lain macam je pandang aku tu. Pandangan jahat tu. Tertelan tu memanglah ada. Tapi takkan sampai keracunan. Tak sakit perut pun.
"Kenapa awak tak suka ke perangai baru saya ni? Perangai air sabun..." Nak berdalih pun tak guna, A.D bukan budak-budak. Memang ketara sangat dengan sikap aku yang sebenar.
"Taklah, bagus juga. Tak adalah rasa sebu je tinggal dengan awak dalam rumah ni..." A.D ketawa sambil menepuk-nepuk tangannya di atas bahu aku.
"Sakitlah..." Kiesya menepis tangan raksaksa A.D. Ingat aku lelaki ke nak tepuk kuat-kuat macam tu. Rasa nak terpeleot tulang bahu aku tadi. Tangan dah la besar gajah. Habis selama ni aku sebulah ya. Siot je kata aku sebu.
"Sakit ke? Kat mana? Biar abang tengok." A.D menerpa ke arah bahu Kiesya.
Dah, dia buat pasal dah, abang pula! Dia mesti nak duga aku ni. Kalau aku menolak dengan cara aku yang dulu confirm aku kantoi berlakon tadi.
"Takda apalah abang, sayang okey tak sakit pun..." Kiesya membuat gaya menggoda ditambah pakej kelipan mata sebanyak lima kali. A.D rasa janggal. Aku sendiri pun rasa geli dengan apa yang aku cakap tadi. Yurks!
Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain. Senyap seketika dan...
"Hahahaha..." A.D ketawa macam orang mereng. Aku? Sebab dah dia gelak macam tu, lagipun nak level buaya aku sama macam dia kan, tumpang gelak juga macam orang mereng.
"Hahahaha..." Sama-sama mereng ketawa acara berpasukan.
"Sya, Sya..." A.D menggelengkan kepala sambil belum berhenti ketawa.
"Saya dah faham kenapa awak nak goda saya, sebab awak nak saya ehemm, ehemm awak, kan. Lepastu awak nak rampas harta saya kan?" A.D mengingatkan pada salah satu dari tujuh perjanjian antara mereka bahawa tiada hubungan suami isteri, jika tidak hartanya akan berpindah milik pada Kiesya.
"No way, no way," kata A.D lagi.
Ehh suka hati tok wan kau je. Bila masa pula. Aku pun tak hingin nak ehemm ehemm lah. Hilang akal ke apa kau ni. Tapi... ermm, bagus juga kalau dia fikir macam tu. Maknanya rancangan aku berjaya! Si buaya ni takkan berani nak buat lebih-lebihlah kan lepas ni. Sebab dia ingat aku nak ehemm ehemm. Bodoh punya badak!
"Ya, kalau awak berani buat benda tu kat saya, segala harta ini ana yang punya. Wahahaha." Kiesya yang tadi terbaring segera bangun dan berdiri sambil tangan di pinggang gelak jahat.
A.D mencebik melihat gaya aku tadi yang confirm orang lain akan kata aku ni mereng, kalau diorang nampak. Sebab tak nampaklah aku berani buat. Apa-apalah, aku dengan kau je pun dalam rumah ni.
"Dah la malas nak layan, saya nak keluar ni. Malam nanti baru balik." A.D menyampaikan niatnya.
"Habis saya nak makan macam mana?" Sambil aku mengangkat tangan yang berbalut tadi dengan pakej muka kesian.
"Sebelah tangan lagi tu kan ada, mengada. Ni pizza banyak-banyak siapa nak habiskan. Habiskan, saya makan luar malam ni." A.D belagak garang.
"Padahal dia yang beli banyak-banyak, suruh kita pula yang habiskan." Kiesya mencebik dan terus berjalan naik ke atas.
Begitulah akhirnya aku menghabiskan masa yang ada keseorangan di rumah. Nak ajak Zira datang rumah, kantoi pula nanti. Nak drive keluar, tangan sakit lagi. Boleh ke nak pegang stereng kereta ni. Ermm lepak jelah kat rumah. Cuma berita baiknya, cubaan aku menjadi buaya menjadi. A.D nampaknya tertipu dengan muslihat aku. Legalah sikit. Harap-harap lepas ni takdalah lagi aksi cium mencium ni.
Rupanya macam itu je nak layan lelaki macam A.D ni. Kalau kita baik sangat, orang pijak kepala. Kalau kita jahat sikit baru orang tak berani pijak. Ooohh... Lepas ni berani buat hal dengan aku, tahulah aku nak buat macam mana.





No comments:
Post a Comment