SEDANG dia melayari mimpi yang indah, pekikan suara bertalu-talu menganggu dirinya. Terasa berat sekali kelopak matanya untuk dibuka. Tiba-tiba, satu serangan hendap telah menujah dari arah belakang. Badan yang sedikit besar telah datang melompat dan memeluk dari belakang. Terpaksalah dia dengan malasnya membuka sedikit mata.
"Bukan main lagi kau eh semalam... Ish... Ish..." Uztazah bidan terjun dah memulakan sesi tazkirah awal pagi.
"Main apa ni... Aku tak main apa-apa la semalam," jawab Kiesya dengan mamai seraya menarik kembali selimut sehingga menutupi separuh dari mukanya.
Mengantuk betul hari ni. Lepas je subuh tadi aku menyambung kembali tidur. Kebiasaannya aku ni jenis yang tidur awal. Paling lewat pun pukul 12 malam. Tapi malam tadi pukul 1 pagi baru sampai rumah. Bersihkan diri, feeling feeling pula sikit. Pukul 2 juga aku baru memasuki alam tidur. Mana tak mengantuk.
"Lain kita kata, lain dia jawab! Tak cerita dengan aku pun kan korang tengok Maharaja Lawak semalam!" kata Zira separa menjerit. Nak pekak telinga aku. Dah la mulut dia betul-betul kat atas telinga aku.
"Apa yang peliknya... Kita kan setiap jumaat layan Maharaja Lawak sama-sama." Kiesya yang masih lagi separuh sedar melayankan juga soalan-soalan kawan baiknya yang seorang itu. Kacau betul orang nak tidur.
"Memanglah tak pelik. Sebab semalam aku layan sorang-sorang kat depan TV tu, yang aku pelik kau tu ada dalam TV."
"Apa yang kau merepek ni Zira... Takda kerja aku nak masuk dalam TV... TV punya slim macam gitu, kucing pun tak lepas nak masuk."
Kiesya masih tidak berupaya menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Zira kerana di dalam kepalanya hanya memikirkan untuk menyambung kembali tidur yang terganggu tadi.
"Ya Allah budak bertuah ni. Aku nampak kau dengan Naufal dalam TV semalam! Dok sengih-sengih, tersengih-sengih!"
Kiesya memalingkan muka mengadap ke wajah Zira. Kepalanya sudah mula memproses input-input data yang masuk, terutama setelah mendengar nama Naufal disebut tadi.
"Maksud kau aku masuk TV?" soal aku kembali berjaya menangkap apa yang dimaksudkan oleh Zira tadi.
"Habis dari tadi tu aku cakap apa? Masuk tong gas?"
Melompatlah aku. Aku masuk TV ke? Masak aku macam ni. Mahu pula budak-budak ofis aku pun tengok.
"Habis macam mana ni?" Aku dengan muka cuak semua cukup. Seramlah pula.
"Memang patut pun kau risau, sebab sekarang ni kau tu dah jadi artis. Tak boleh buat benda pelik-pelik sangat. Jaga kelakuan. Paparazi ni kat mana-mana pun ada." Cakap Zira bersungguh-sungguh.
Nak tergelak pun ada aku dengan Zira ni. Itu pula yang dia faham. Masuk sekali dalam rancangan TV dah automatik menyandang gelaran artis ke? Hihi. Bukan itu yang aku risau. Yang aku risau ialah kantoilah aku kalau budak-budak office dapat tahu yang aku keluar dengan lelaki. Masuk TV pula tu. Kena bahan aku nampak gayanya nanti. Kalau ayah pun tahu juga macam mana?
Tapi kenapa aku nak kisah ayah tahu ke tidak. Ini hak aku nak keluar dengan sesiapa. Tapi dia mesti sedih, kan. Ermm...
"Wei artis! Belum apa-apa dah mengelamun. Ermm Sya, nanti jangan lupa sign baju aku ehhh... Wahaha," perli Zira berlalu pergi meninggalkan Kiesya seorang diri di atas katil.
Seronok pula si Zira ni nak perli-perli bagai. Loyar buruk nombor satu. Haha. Aku pun apa kurangnya. Tapi sejak aku tinggal sebumbung dengan minah ni yang perangai loyar buruk aku menjadi-jadi. Semua kau punya pasal Zira.
Tiba-tiba otaknya mengingati sesuatu. Hal semalam. Kenapa dia kata sepuluh hari je yang tinggal? Entah, aku pun tak faham sebenarnya. Dia meliarkan mata mencari fail merah itu. Mana aku letak eh. Dia cuba mengingati semula hari kejadian dia pengsan pada tempoh hari. Hari dia membaca surat perjanjian itu. Kata Zira dia jumpa aku atas lantai. Lantai mana, tak ada pun.
Cari punya cari jumpa juga fail tu kat bawah katil. Mungkin diorang tersepak kut masa nak selamatkan aku. Tapi... Dia terkejut sebaik sahaja membuka fail merah itu kerana helaian-helaian surat perjanjian, sudah tiada! Tak ada pula surat ni dalam fail. Zira buang ke? Dia dah baca ke? Habis la...
"Zira ooh Zira."
"Yo artis... Aku ada kat bawah ni."
Kiesya melangkah laju turun ke bawah. Dia sedikit panik bila melihat surat perjanjian itu tiada di dalam fail. Dan yang lebih meresahkan dirinya ialah jika Zira telah membacanya.
"Zira kau nampak surat kat bilik aku tak masa aku pengsan itu hari?" Bersungguh Kiesya bertanya. Zira berkerut di dahi.
"Surat? Tak pasti pula aku... Jap... Ermm masa aku kemas bilik kau ada kertas apa ya... Aku rasa aku dah buang kut."
"Buang?!" Kiesya menjerit tidak percaya.
"Cuba kau tengok dalam tong sampah tu ada lagi kut. Rasanya, kalau tak silap ada aku buang kertas dari bilik kau ke dalam tu."
Aku terus menyelongkar tong sampah sendiri. Kami kat sini ada dua tong sampah. Tong sampah basah dan tong sampah kering. Tong sampah kering ni selalunya seminggu baru buang kat luar. Kebanyakkannya kertas. Yes! Ada... Nasib baik.
"Surat apa tu Sya?"
"Surat kerja ni," jawab aku cuba berdalih
"Yalah tu surat kerja. Tak pernah kau bawa balik apa-apa kerja ke rumah pun selama ni. Sebab tu aku buangkan je."
Betul juga cakap Zira, mana pernah aku bawa balik kerja ke rumah selama ni. Kerja aku takda kena mengena dengan kertas pun. Dia je yang banyak bawa balik kertas-kertas kerja ke rumah.
"Betul ni kertas kerjalah." Aku berusaha menyakinkan Zira.
"Kau jangan tipu aku Sya... Bak aku nak tengok." Zira dah mula main kejar-kejar dengan aku. Penat aku lari pusing sofa. Masak aku kalau kantoi ni. Tak boleh... Tak boleh bagi dia tahu.
"Okey... Okey, stop, stop." Kiesya memberi arahan tangan untuk meminta Zira berhenti dari terus mengejar. Penatlah pula. Aku yang slim dari dia boleh pula mengah, dia relaks je aku tengok. Dah biasa main kejar-kejar dengan Azwan kut. Apa aku nak cakap ni. Nak kelentong apa ni.
"Okey, ni bukan surat kerja pun. Tapi..."
"Tapi apa Sya... Aku nak tengok juga!" Zira mengacah untuk mengejar semula. Ahh kacau betul dia ni. Susah betul nak terima je bulat-bulat cakap aku. Mana aku tak menipu kalau macam ni.
"Ini surat cinta yang Naufal bagi kat aku. Takkan aku nak kongsi dengan kau. Malulah aku." Ambik, baik punya jawapan aku bagi. Saja tambah satu lagi penyakit kau ni Sya. Tapi yang bagusnya lepas aku cakap macam tu, Zira dah tak kejar lagi. Buat muka. Cepat-cepat aku lari ke tangga. Fuhh selamat.
"Menyesal la tak baca!" Zira menjerit dari bawah sebab dia fikir terlepas nak baca kononnya surat cinta aku. Zaman sekarang mana ada orang bercinta pakai surat Zira oii. Kata pengalaman cinta sampai dah boleh buat Filem. Selamat, selamat...
Aku masuk dalam bilik, kunci pintu. Takut Zira tahu. Kecoh satu dunia nanti kalau dia tahu benda ni. Mulut perempuan faham-fahamlah bukan boleh kunci lama-lama. Bocor juga nanti. Aku pun buka balik perjanjian tu. Cari kat mana yang kata aku ada sepuluh hari je lagi.
Jika mana-mana perkara di atas tidak dipatuhi dalam tempoh 14 hari dari surat perjanjian ini dikeluarkan. Segala harta milik Datuk Mokhzani Bin Abdul Rahman akan diagih-agihkan kepada badan-badan amal kebajikan seperti yang telah ditetapkan oleh Datuk Mokhzani Bin Abdul Rahman di lampiran terakhir. Baca dia di dalam hati.
Okey tarikh surat ni bila? Dia meneliti kepala surat. Tarikh surat ni 1 September. Hari ni berapa hari bulan? Hari ni 5 September. Kiesya terkira-kira hari yang tinggal. Kalau tak masuk hari ni ada 9 hari lagi. Maknanya tarikh akhir untuk surat ini di tandatangani ialah 14 September!
Tapi sebelum tandatangani surat ni aku haruslah menjadi isteri A.D yang sah terlebih dahulu. Jadi isteri dia? Kalau tak jadi isteri dia semua harta bertukar tangan. Tapi aku tak nak jadi isteri mangkuk tu! Handsome tu memanglah, tapi perangai tak boleh blah, gila aku nak hidup dengan lelaki macam tu. Dia mengeluh panjang.
Walau dia cuba bertekad untuk tidak mempedulikan soal perjanjian itu, tetapi ia tidak semudah yang disangka. Terutama bila terfikir akan ayahnya, Datuk Mokhzani. Lelaki yang telah banyak berjasa kepada dirinya.
"Tutt... Tutt..." Bunyi mesej WhatsApp menerjah masuk.
Selamat pagi Sya.
Selamat pagi Fal. Kiesya membalas mesej Naufal.
Dah bangun tidur ke?
Belum bangun lagi. Ini bukan Sya, ini Tok Wan Sya.
Haha. Sya buat apa sekarang ni?
Sya tengah whatsapp dengan Fal.
Haha. Sya ni loyar buruk betul.
Habis awak tanya soalan yang yang awak dah tahu. Buwerkk.
Nak keluar?
Boleh juga.
Sya bersiaplah dulu, saya dah ada kat bawah ni. Saya tunggu.
Haa? Aku cepat-cepat berlari ke tingkap. Buka sikit je langsir. Takut dia ternampak dengan muka tak mandi, tak bertudung semua. Yalah... Dia ni confident je aku nak keluar dengan dia. Siap tunggu depan rumah tu. Aku menatap kembali pada telefon.
Ok tunggu jap. Lama tau Sya nak bersiap.
No problem.
Pelik betul aku kali ni. Sebelum ni budak-budak office yang suka menyakat aku. Ajak aku keluar makanlah, tengok wayanglah, ajak kahwinlah. Semua aku tolak dengan baik. Kenapa yang seorang ni aku tak tolak pula. Mana tak tolak, kalau yang ajak keluar tu pun laki orang. Apa daa... Yang seorang ni confirm single lagi. Sedap mata memandang pula tu. Haha.
Dia bersiap dengan segera. Hatinya cukup berbunga. Masa yang dihabiskan bersama semalam akan disambung lagi hari ini. Sebenarnya dia sedar yang dia telah menaruh hati pada Naufal, cuma biarlah Naufal terlebih dahulu yang memulakan. Walaupun dia juga tahu yang lelaki itu juga menaruh perasaan terhadap dirinya. Riang sekali hatinya, sekurang-kurangnya dapat dia melupakan seketika kerumitan yang sedang melanda dirinya.
"Wei, nak pergi mana dah macam ratu belacan ni?" Zira mengusik bila aku dah turun ke bawah.
Kurang asam betul kata aku macam belacan. Tak cantik ke aku pakai baju ni. Zira ni nak buat aku serba salah pula. Takkan nak naik atas balik tukar baju lain. Naufal dah tunggu lama tu.
"Tak cantik ke wei? Alaaaa..." Aku cebikkan mulut.
"Taklah, gurau je. Cantiklah ni. Tapi kau nak pergi mana? Tak cakap apa pun dengan aku, tiba-tiba je... Tunggu kejap, aku pergi bersiap." Zira bangun dari sofa ingin melangkah naik ke atas. Fikirnya Kiesya mahu mengajak dirinya keluar. Hari minggu. Bosan juga lepak di rumah.
"Ala beb... Sorry la... Aku bukan nak ajak kau keluar. Tapi tu mamat yang kat luar tu, dia dah tunggu aku dari tadi lagi. Ajak aku keluar," muncung aku ke luar rumah. Zira berkerut. Menuju ke tingkap. Melihat ke luar.
"Dating lagi?" Zira seakan tidak percaya. Aku menggangguk.
"Kenapa tak cakap." Duduk kembali di atas sofa. Muka kecewa. Tahu pun kecewa. Selama ni tinggal aku sorang-sorang kat rumah. Haa macam tulah muka aku bila kena tinggal dengan kau. Bila kau berdating dengan Azwan.
"Ala Zira, cakaplah betul-betul. Macam belacan ke?" Sengih aku pada Zira. Dia memandang. Membalas dengan senyuman.
"Taklah... Cantik kawan aku sorang ni. Semua serba cantik," balas Zira ikhlas. Legalah aku dengar.
"Aku jalan dulu erk... Jangan sedih tau." Sempat lagi mengusik Zira. Dia mencebik. Haha. Hai seronok semacam. Best pula kalau hari-hari ada perasaan macam ni. Orang kata dalam hati ada taman. Macam yang aku rasa ni kut.
Kiesya melangkah keluar dengan hati yang berbunga. Menuju riang kepada Naufal yang menunggu. Senyuman berbalas senyuman. Pintu kereta dibuka oleh Naufal. Kiesya masuk persis sang puteri.
"Awak nak bawa saya pergi mana pula kali ni. Makan kat negara apa pulak?" soal aku pada Naufal dengan senyuman.
"Lawanya lesung pipit tu... Beli kat mana?" Naufal memuji lesung pipit yang tersergam indah di kedua belah pipi Kiesya. Orang tanya makan kat mana dia tanya lesung pipit aku pula dah. Beli? Beli mana, Allah yang beri. Terlintas di hati untuk bergurau.
"Takkanlah awak tak tahu. Ketinggalan zaman betul."
"Apa yang saya tertingal tu Sya." Naufal dah berkerut di dahi.
"Sekarang ni orang dah tak beli lagi lesung pipit. Boleh buat sendiri je kat rumah. Pap! Pap! dah siap." Kiesya menunjukkan cara membuat lesung pipit sambil memetik jari. Yang berbunyi itu dari mulutnya. Petikan di jari langsung tidak berbunyi.
"Hahaha... Ada-ada jelah Sya ni." Ketawa Naufal.
Suka pula dia ni dari tadi. Senyum tak lepas. Kenapa dia nak berkawan dengan aku ya? Aku ni bukanlah lawa sangat macam model tu. Cute tu adalah sikit. Kalau nak di bandingkan dengan dia ni. Aku rasa dia boleh cari perempuan yang lagi tip top kut dari aku. Kenapa dia suka kat aku erk.
"Kenapa Sya, senyap je... Tak suka ke keluar dengan saya?" Soalan menduga lagi.
"Ehh takdalah... Sya suka... Cuma..."
"Cuma apa Sya?"
"Cuma Sya heran kenapa lelaki yang kacak, bergaya, kaya macam awak ni nak berkawan dengan saya... Sanggup luangkan masa untuk saya... Saya bukanlah ada apa-apa pun... Muka pun tak lawa mana... Loyar buruk je banyak... Mak ayah pun dah takda," kata aku merendah diri.
Naufal memerhatikan lama wajah Kiesya sambil sesekali dia menoleh ke hadapan memastikan pergerakan kereta yang dipandu berada di landasan yang betul. Dia tersenyum lagi. Lega hatinya bila mendengar pengakuan Kiesya itu. Jelaslah pada dia yang Kiesya juga menaruh hati padanya.
"Sebab saya suka senyum... Awak buat saya tersenyum." Jawapan ringkas yang cukup membuatkan hati Kiesya berbunga. Jadi dia suka sebab aku ni jenis suka bergurau kut. Maknanya loyar buruk aku selama ni dengan dia, yang buat dia terpikat. Macam tu ke? Memanjang jumpa aku senyum je dia. Kalau macam tu baguslah.
Hari itu putik-putik bunga sedang berkembang mekar di dalam diri Kiesya. Tak pernah sekali dia bermimpi akan ditemukan dengan seorang lelaki yang sekacak Naufal. Disebabkan dia ada menyebut tentang makanan Morocco semalam, Naufal betul-betul membawa dirinya menikmati makanan tengahari di sebuah restoran mewah Morocco.
Tapi dia sedar, dia tidak begitu arif soal hati dan perasaan, pengalaman pertama. Mungkin yang pertama ini terlalu istimewa. Tapi dia pasti yang dia menyukai Naufal. Dia pasti yang dia menaruh perasaan pada lelaki itu..
Cuma hubungan mereka belum dinoktahkan lagi. Kiesya tidak sabar menanti hari dan waktunya Naufal melamar dirinya sebagai kekasih hati. Dia akan menerima dengan hati yang gembira.
Tetapi yang pasti, Kiesya sangat menyukai senyuman Naufal, sehingga membuat diri sendiri tersenyum. Tetapi senyuman yang sedang mekar bakal direntap sekelip mata. Senyuman yang bertinta di bibir akan diragut. Kenapa bahagia yang diberi, derita pula yang menyusul. Kenapa buat aku begini Naufal. Sanggupkah aku...
"Sya... Saya ada sesuatu yang nak diucapkan pada awak."
Aku yang ketika itu sedang selera menjamah hidangan Morocco, terhenti serta merta. Semestinya aku seakan mengerti maksud di sebalik kata-kata itu. Sepertinya manusia seperti aku biasa mendengar ungkapan seperti itu di dalam drama-drama melayu di kaca TV yang menjadi peneman di kala malam. Apakah pula reaksi aku nanti? Biarlah kata-kata sakti itu bergema terlebih dahulu. Biarlah kata-kata hikmat itu menusuk tepat ke jantungku. Biarkan ia datang kepadaku dan telingaku akan menjadi saksi.
"Berkenaan dengan apa Fal?" Kiesya memberi laluan untuknya memperkuatkan diri. Dia seakan tahu apa yang bakal diucapkan oleh Naufal. Dia tahu yang Naufal telah jatuh hati padanya.
Mata kami saling bertaut. Takkan ku lepaskan saat istimewa ini dari pandanganku. Ku cekalkan hati menatap matanya yang berkaca-kaca itu. Mata yang tidak sanggup aku menatap lama sebelum ini. Mata yang cukup menusuk kalbu. Teruskan Fal, aku telah bersedia.
"I love you. I falling in love with you..."
"....Would you love me?"
Ahh... Bergegar seluruh anggota tubuhku apabila panahan sakti itu tepat mengena ke arah jantungku. Buat sahaja aku hampir rebah kerana tidak tahan menahan bisa asmaranya.
"I loved you from the very first day, Sya."
Aku makin layu diusik mimpi indah. Mimpi paling indah yang belum pernah sekali menjengah hidupku. Aku tewas padamu Naufal. Hatiku hanya untukmu. Tetapi lidahku kelu. Bagaimana caranya untuk aku mengatakan yang aku juga suka padamu Fal. Kerana maluku masih menebal. Ya mungkin disebabkan kita baru mengenali antara satu sama lain. Tetapi percayalah yang aku juga mencintai dirimu.
Dia memejamkan mata mengetap erat bibirnya. Berusaha untuk menyatakan yang dia juga menyukai Naufal. Perasaan itu terlalu hebat untuk digambarkan dengan kata-kata. Dia berusaha melepaskannya. Sayangnya kenapalah berat sangat mulut aku nak berkata-kata. Cepatlah mulut. Naufal dah menanti tu.
Arghh... Tak tahu apa dah jadi dengan mulut aku. Susah rupanya nak mengungkap kata-kata hikmat itu. Mungkin buka mata lebih mudah rasanya. Aku membuka mata, dan tidak terduga, tiga kuntum bunga ros merah sudah menanti di hadapanku. Tiga kuntum bunga ros merah yang aku tidak tahu dari mana dia mendapatkannya, tersemat indah digenggamannya. Untuk kekasih hatinya. Untuk aku.
"Sya... Tahu tak apa maksud tiga kuntum ros merah?"
Ohh Fal kau mengulangi ayatku kelmarin. Mahu sahaja aku mengusik dirimu dengan gurauanku tetapi saat indah begini tidak mahu aku nodakan ia dengar loyar burukku. Ungkaplah ia Fal, tidak mungkin aku bisa mengungkapnya dahulu. Panahlah aku kembali dengan kata-kata sakti itu. Biar gegak gempita tubuh ini meraikannya.
"I love you, Kiesya Humaira."
Bergegarnya diri ini bila menerima ungkapan keramat itu. Curahan cintamu membuat jiwaku bergetar. Zahir dan jiwaku yang telah lama kusam kasih dari orang tersayang. Aku sangat menyanyangimu Naufal. Mahu sahaja aku memelukmu jika tidak kerana batas. Mahu sahaja aku mengengam erat tanganmu jika tidak kerana aku bukan lagi isterimu. Mahu sekali aku mengucapkan yang Aku Cinta Pada Mu Naufal. Tetapi sekali lagi aku terpana. Kelu lidahku untuk berkata.
"Simpanlah perkataan itu jika Sya belum bersedia, saya sedia menunggunya."
Terima kasih Naufal. Walaupun perkenalan kita yang singkat. Kau cukup memahamiku. Akan ku simpan dahulu perkataan itu bila sahaja bibir ini diberi kekuatan, akan ku lepaskan ia nanti untuk disimpan oleh mu selama-lamanya.
"Dan saya ada sesuatu yang lain untuk diberitahu Sya."
Masih ada lagikah kata-kata sakti yang lain Fal? Aku tidak pasti jika ada lagi kata hikmat yang lebih hebat dari I LOVE U. Apakah ia Fal. Katakanlah.
"Maksud Fal?"
Naufal terdiam sejenak. Dari riak wajahnya aku menjangkakan kata-kata ini lebih hebat dari yang sebelumnya. Sehinggakan lidahnya kelu tidak mampu berkata. Pasti lebih hebat. Akhirnya...
"Saya... Atas urusan kerja, saya akan dihantar ke England untuk menyelesaikan beberapa kes..." Diam dia seketika.
"... Esok saya akan bertolak." Sambung Naufal semula. Wajahnya memaparkan kekecewaan yang amat kerana bakal berpisah dengan kekasih hatinya. Kiesya belum menyedarinya lagi.
Lega hatiku, tidaklah menjadi beban padaku. Mungkin dua atau tiga hari kita tidak dapat berjumpa, tak menjadi beban pada aku Fal. Apa salahnya kalau kita berjauhan seketika. Kerjamu itu juga penting. Untuk masa depan kita nanti. Untuk masa depan anak-anak kita nanti.
"Tetapi kes-kes ini kemungkinan besar melibatkan masa yang panjang." Naufal menyusun kata. Cuba menyampaikan cara yang terbaik agar Kiesya tidak terluka. Dia tahu hari terakhir di bumi Malaysia ini perlu digunakan sebaiknya. Walaupun agak tergesa-gesa tapi dia terpaksa. Dia kuatir jika gadis istimewa di hadapannya itu, terlepas ke tangan orang lain.
Kalau satu minggu apa salahnya aku menunggumu sebentar Fal. Tidak mengapa aku setia menunggumu. Apalah sangat, walaupun aku tahu satu minggu itu cukup lama, tetapi demi kerjamu, aku rela.
"Berapa lama?" Soal aku.
"Kemungkinan besar empat atau lima bulan dan saya mungkin tidak dibenarkan pulang ke Malaysia selagi mana kes-kes itu tidak diselesaikan."
Sampai hati kau Naufal. Sampai hati kau menghidangkan madu padaku tadi dan sekarang kau suruh aku menelan racunnya. Aku tak sanggup menunggumu sehingga lima bulan. Aku pasti yang aku akan merinduimu.
Sayangnya perasaan indah yang baru sahaja berputik akan bakal terhalang atas sebab kerja yang tidak dapat dielakkan. Luluh hati Kiesya bila mendapat tahu yang dia bakal tidak berjumpa dengan kekasih hatinya selama empat hingga ke lima bulan lamanya.





No comments:
Post a Comment